KUALA LUMPUR 29 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bumi Armada Bhd. dengan harga sasaran 76 sen meskipun pendapatannya dijangka lebih lemah pada suku ketiga memandangkan Armada Kraken dijadualkan menjalani penyelenggaraan pada September 2022.
Bumi Armada merekodkan untung bersih sebanyak RM186.3 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 33% daripada RM139.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM618.43 juta berbanding RM591.86 juta.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM372 juta daripada RM302.65 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.13 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Firma itu menyifatkan prestasinya pada separuh pertama dengan pendapatan teras RM405.2 juta adalah merangkumi 57% daripada jangkaannya tetapi melepasi jangkaan konsensus pada 61% kerana ia dijangka merekodkan prestasi lemah pada suku ketiga.
"Namun, kami melihat peningkatan besar dalam kunci kira-kiranya dengan hutang bersih yang lebih rendah sebanyak RM5.66 bilion pada akhir suku kedua (daripada RM5.74 bilion pada akhir suku pertama dan penggearan bersih telah menurun untuk suku kesembilan berturut-turut kepada 1.2 kali pada akhir suku kedua 2022 daripada puncak 2.9 kali pada suku pertama 2020.
"Malah, kami percaya risiko pengurusan hutang Bumi Armada akan terus bertambah baik dalam tempoh beberapa suku akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Bumi Armada meningkat kepada RM186.3 juta pada suku kedua
Menurutnya, Bumi Armada bercadang untuk melupuskan baki tiga kapal sokongan luar pesisir (OSV) pada masa akan datang memandangkan kumpulan menyasarkan untuk keluar daripada perniagaan OSV secara menyeluruh.
"Kumpulan juga sebelum ini menyatakan ia tidak merancang untuk menerbitkan ekuiti baharu dalam tempoh terdekat.
"Di samping itu, kami juga dapati kemudahan apungan, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Armada Clair akan dijual tahun ini," jelasnya.
Dalam pada itu, HLIB berpendapat, saham Bumi Armada sangat menarik memandangkan kedudukannya dalam perniagaan FPSO yang memberikan pendapatan berulang yang stabil, ditambah dengan peningkatan pantas dalam profail hutangnya.
"Kelemahan harga sahamnya baru-baru ini membuka peluang untuk memburu saham yang lebih menarik. Malah, Bumi Armada ialah pilihan utama kami untuk sektor minyak dan gas (O&G)," katanya.
Setakat 11.55 pagi, harga saham Bumi Armada menokok 1 sen atau 2.47% kepada 41.5 sen dengan 12.28 juta saham diniagakan. - DagangNews.com