Saham Comintel melonjak lebih 300% pagi ini selepas kembali diniagakan | DagangNews Skip to main content

Saham Comintel melonjak lebih 300% pagi ini selepas kembali diniagakan

KUALA LUMPUR 5 Dis - Saham Comintel Corporation Bhd. melonjak sehingga lebih 300% apabila ia memulakan kembali dagangannya pagi ini.

 

Setakat 12.20 tengah hari, harga sahamnya meningkat 30 sen atau 333.33% kepada 39 sen dengan 2.69 juta saham diniagakan. 

 

Jumaat lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. mengumumkan menarik semula penggantungan dagangan Comintel Corporation Bhd. berkuat kuasa pukul 9 pagi Isnin, 5 Disember 2022.

 

Ia bagi mempermudahkan penyenaraian saham penempatan dan menyempurnakan pelan penyusunan semula kumpulan.

 

Baca : Saham Comintel akan didagangkan semula di Bursa Malaysia 5 Disember ini

 

Comintel yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) telah digantung dagangan sejak 31 Mei 2021 selepas Bursa Malaysia menolak permohonan syarikat itu untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan rancangannya untuk menetapkan syarat PN17. 

 

Keadaan PN17 dicetuskan pada Mac 2019, selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 25% daripada modal saham terbitannya. 

 

Comintel ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan, dengan kumpulan teknologi maklumat, telekomunikasi, pembuatan dan penyelidikan serta pembangunan sinergistik yang memberi tumpuan kepada penyediaan penyelesaian khusus di bawah anak syarikatnya.- DagangNews.com