Saham HE Group dibuka 43 sen, premium 53.6% pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham HE Group dibuka 43 sen, premium 53.6% pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Jan - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik HE Group Bhd membuat penampilan sulung yang mengagumkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dengan dibuka pada 43 sen, naik 15 sen atau 53.6% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen.

 

Kaunter itu menyaksikan 9.82 juta saham bertukar tangan pada loceng pembukaan.

 

Pada sejam pertama pasaran dibuka, kaunter itu merekodkan paras tertinggi harian sebanyak 45 sen.

 

Ia kemudian merosot kepada 40.5 sen, masih pada kedudukan tinggi 12.5 sen daripada harga IPOnya.

 

Sebelum penampilan pertama hari ini, kaunter HE Group menyaksikan lebihan langganan sebanyak 63.35 kali.

 

Pengarah Urusan Kumpulan HE, Haw Chee Seng berkata, didorong oleh dana yang diperoleh daripada IPO, syarikat berada pada kedudukan yang strategik untuk melaksanakan rancangan pengembangan.

 

"Ini termasuk transformasi kami menjadi pembekal perkhidmatan kejuruteraan satu titik hubungan utiliti mekanikal, elektrik dan proses (MEP), yang membolehkan kami membida secara kompetitif untuk projek perindustrian dan komersial yang besar.”

 

“Selain membuka pejabat baharu di Kulim, Kedah, dan Johor Bahru, Johor, yang dijangka beroperasi menjelang 2025, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kehadiran kami di wilayah ini dan menjana lebih banyak peluang perniagaan," kata beliau.

 

"Kami juga berharap untuk mengembangkan liputan industri pengguna akhir kami untuk memasukkan pusat data.

 

"Berdasarkan rekod prestasi kami yang berjaya dalam menyediakan sistem pengagihan kuasa kepada industri berkaitan seperti semikonduktor, peranti perubatan dan produk elektronik, kami yakin dapat menarik dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan daripada sektor pusat data,” ujarnya. - DagangNews.com