Saham Malaysia dibuka rendah pada hari terakhir November | DagangNews Skip to main content

Saham Malaysia dibuka rendah pada hari terakhir November

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pasaran saham Malaysia dibuka sedikit rendah pada hari terakhir untuk bulan November 2020 didorong penurunan pasaran global.

 

Dalam masa sama, para pelabur di pasaran tempatan masih menunggu keputusan undian terakhir Belanjawan 2021 yang bakal menentukan dasar fiskal utama negara bagi tahun hadapan. 

 

Setakat 9.18 pagi, KLCI merosot sebanyak 1.49 mata atau 0.09%, mencecah paras 1,606.10 daripada paras ditutup Jumaat lalu, 1,607.59.

 

Menurut Bloomberg, saham di Asia dan niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) beralih daripada keuntungan kepada kerugian pada awal dagangan memandangkan para pelabur masih lagi memantau perkembangan vaksin COVID-19 pada hari terakhir rekod ekuiti global bagi bulan ini. 

 

Niaga hadapan S&P500 dibuka lebih tinggi pada awal dagangan, kemudian merosot.

 

Trend sama ditunjukkan oleh saham Australia dan Jepun. 

 

Semalam, pakar bedah AS, Jeneral Jerome Adams berkata, kerajaan persekutuan berhasrat untuk mempercepat kajian dan meluluskan permohonan daripada dua syarikat pengeluar perubatan terbesar bagi kelulusan kecemasan vaksin COVID-19. 

 

Ekuiti global meningkat 13% pada November memandangkan berita positif vaksin membantu memacu harapan untuk pemulihan ekonomi global pada tahun 2021. 

 

Dalam pada itu, Trading Economics melihat ketidaktentuan isu politik di AS yang berkurangan mendorong sentimen pergerakan pasaran. 

 

“Momentum pembelian telah dipacu oleh pelabur yang menumpu sektor terjejas teruk. 

 

“Penanda aras S&P/ASX 200 kini dalam landasan prestasi bulanan terbaik sejak lewat 1980-an dan Nikkei 225 menghampiri lonjakan terbesar sejak 1990,” kata Trading Economics. - DagangNews.com