Saham Malaysia jatuh 7.07 mata | DagangNews Skip to main content

Saham Malaysia jatuh 7.07 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pasaran tempatan dibuka lebih rendah hari ini berbeza dengan trend menaik yang ditonjolkan di Amerika Syarikat (AS) dan Asia. 

 

Setakat 9.03 pagi, KLCI menyusut sebanyak 7.07 mata atau 0.44%, mencecah 1,590.41 daripada paras yang ditutup semalam, 1,597.48.

 

Kedua-dua pasaran saham AS dan Asia dibuka lebih tinggi selepas para pelabur meletakkan harapan terhadap penemuan vaksin COVID-19 selain didorong oleh laporan desakan peralihan jawatan Presiden AS secara formal antara Joe Biden dan Donald Trump. 

 

Di pasaran tempatan, rata-rata firma penyelidik menjangkakan Bursa Malaysia bakal menyaksikan trend menaik seiring prestasi pasaran global semalaman.

 

Namun, mata KLCI yang susut menghampiri dua digit itu mungkin didorong sentimen penantian keputusan pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka berlangsung esok.

 

Pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menbentangkan Belanjawan 2021 yang mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah, iaitu RM322.5 bilion.

 

tengku zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

Bagaimanapun, belanjawan itu gagal mendapat sokong penuh apabila segelintir Ahli-Ahli Parlimen mendesak untuk diubahsuai sebelum meluluskannya. 

 

Isu yang diperjuangkan termasuk pengeluaran simpanan secara ‘lump sum’ daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan pinjaman moratorium. 

 

“Dengan harga minyak mentah Brent melonjak ke paras dua bulan tertinggi iaitu AS$46 setong, kami menjangkakan minat pelaburan bakal beralih ke saham berkaitan syarikat minyak memandangkan KLCI terus pulih sehingga menembusi 1,600 dengan 1,610 merupakan paras rintangan (resistance) seterusnya. 

 

“Dalam pada itu, minyak sawit mentah kekal di paras melebihi RM3,500 setiap metrik tan, saham perladangan dijangka menarik minat dengan lima saham berprestasi rendah setakat ini iaitu TDM, Rimbunan Sawit, TSH Resources, FGV dan Boustead Plantation masih menawarkan nilai yang berpatutan,” kata Rakuten Trade Research dalam nota kajian pasarannya hari ini. - DagangNews.com