Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Bursa Malaysia menunjukkan sedikit penurunan daripada paras ditutup pada Rabu lalu selepas pasaran saham Asia dibuka tidak menentu hari ini.
Setakat 9 pagi, KLCI susut 0.89 mata atau 0.06% mencecah paras 1,494.31.
Rakuten Trade Research menjangkakan indeks itu mungkin didagangkan sekitar paras 1,500 dengan kecenderungan untuk menurun.
“Saham Amerika Syarikat (AS) melonjak semula walaupun kurang meyakinkan.
“DJI Average meningkat 150 mata untuk melepasi paras 26,600.
“Berdasarkan situasi ini, kami menjangkakan pasaran serantau kekal tidak menentu,” kata Rakuten Trade.
Para pelabur menzahirkan kebimbangan baharu terhadap prospek saham teknologi besar yang mengheret niaga hadapan ekuiti AS lebih rendah.
Menurut Reuters, saham Australia melonjak 0.14% pada awal dagangan dengan indeks niaga hadapan Hong Kong naik 0.26%.
Niaga hadapan Jepun pula merudum 0.24%.
Jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia dan pilihan raya AS menjelang 3 November ini kekal sebagai faktor yang mempengaruhi dagangan oleh para pelabur.
Pada Rabu lalu, kes COVID-19 di seluruh dunia buat pertama kalinya meningkat lebih 500,000 ketika Perancis dan Jerman melaksanakan perintah berkurung baharu. - DagangNews.com