Saham Malaysia susut 3.31 mata | DagangNews Skip to main content

Saham Malaysia susut 3.31 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pasaran saham Malaysia meneruskan trend dagangan di bawah paras 1,500 didorong oleh kemerosotan di Wall Street dan data pembuatan negara yang menurun buat bulan keempat berturut-turut. 

Setakat 9.04 pagi, KLCI dibuka pada paras 1,463.58, merosot 3.31 mata atau 0.23%.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia pada Oktober menurun kepada 48.5 daripada 49.0 pada September. 

Baca : Indeks pembuatan Malaysia terus merudum akibat COVID-19

Dalam pada itu, Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI yang menyaksikan kemerosotan pada Jumaat lalu tidak akan melonjak dalam masa terdekat ini. 

Jelasnya, kedua-dua faktor luaran dan dalaman mungkin tidak menarik minat membeli.

“Oleh itu, melainkan sekiranya paras KLCI menembusi paras 1,500 dengan agresif, indeks penanda aras itu dijangka dalam lingkungan 1,450 hingga 1,500 buat masa ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajiannya hari ini. 

Wall Street pada minggu lalu ditutup pada paras lemah didorong peningkatan kes COVID-19 selain ketidaktentuan pilihan raya di Amerika Syarikat (AS). 

DJI Average merudum 150 mata dan berlegar pada paras 26,500.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan pasaran serantau menyaksikan lebih banyak tekanan penjualan susulan tiada pemangkin positif. 

“Sementara itu, harga minyak mentah terus merudum dengan Brent kini berada di bawah AS$37 bagi satu tong, manakala minyak sawit mentah terus melonjak untuk menembusi RM3,200 pada satu tong,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com