Saham Nestcon catat 28.4 juta dagangan ketika pertama kali dibuka di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham Nestcon catat 28.4 juta dagangan ketika pertama kali dibuka di Pasaran ACE

Pengarah Urusan Kumpulan Nestcon, Datuk Ir. Dr. Lim Jee Gin (memukul gong) dan Pengarah Eksekutif, Ong Yong Chuan pada majlis penyenaraian IPO Nestcom yang dilakukan secara maya. 

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jun – Penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur, Nestcon Berhad dan subsidiarinya, meraih minat yang teguh daripada para pelabur dengan tawaran awam permulaan telah terlebih langganan sebanyak 57.13 kali dengan meraih RM45.1 juta menjadikannya IPO kedua terbesar di Pasaran ACE sehingga kini.

 

Hari ini, kaunter Nestcon secara rasmi tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dan dibuka pada harga 30 sen sesaham, mewakili premium 2 sen atau 7.1% berbanding harga terbitan 28 sen sesaham. Volum pembukaan menyaksikan 28.4 juta saham didagangkan.

 

Menurut syarikat itu, daripada hasil sebanyak RM45.1 juta itu, sebanyak RM6.0 juta atau 13.3% akan diguna bagi membangunkan kemudahan sistem pembinaan industri untuk divisyen pembinaan; RM6.6 juta (14.7%) bagi membeli mesin dan peralatan; RM16.5 juta (36.6%) untuk modal kerja dan RM1 juta (2.2%) bagi menaik taraf perisian dan sistem.

 

Baki RM4 juta (8.9%) diperuntukkan bagi menjelaskan perbelanjaan kos penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Nestcon, Datuk Ir. Dr. Lim Jee Gin berkata, pihaknya amat gembira meraikan pencapaan penting menjadi sebuah entiti syarikat tersenarai setelah berusaha keras bertahun lamanya.

 

“Ini bagaimanapun, bukanlah penamat tetapi suatu permulaan sebuah perjalanan bagi Nestcon dengan kami menetapkan matlamat untuk meningkatkan lagi status kami sebagai peserta industri pembinaan yang berwibawa dan dipercayai,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

“Di Nestcon, kami memastikan kami sama-sama cekap di dalam segmen pembinaan dan kejuruteraan awam serta infrastruktur. Oleh itu kami mahu terus melonjakkan kedua-dua divisyen tersebut bagi meneguhkan kedudukan pasaran kami sebagai syarikat pembinaan yang menyeluruh.

 

“Atas faktor itu, kami juga berhasrat meluaskan portfolio kami untuk merangkumi projek baharu seperti projek tenaga diperbaharui,” kata beliau.

 

Menurut beliau, syarikat yakin kemudahan IBS yang sedang didirikan bakal meningkatkan keupayaan segmen pembinaan dan meletakkan Nestcon berdiri sama tinggi dengan syarikat lain.

 

“Teknik pengeluaran besar-besaran itu telah diguna pakai oleh banyak syarikat pembinaan besar di Malaysia berikutan manfaatnya yang besar seperti kawalan kualiti, pengurangan kos, mempercepatkan jadual kerja dan lain-lain,” katanya.

 

Selain itu, ujar beliau, ia membolehkan syarikat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, yang mana ia tepat pada masanya ketika industri berdepan kemungkinan kekurangan tenaga kerja asing.

 

Sementara itu, penambahan mesin dan peralatan baharu akan meningkatkan segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur ketika syarikat menyertai tender projek-rpojek berskala lebih besar.

 

“Di peringkat makro, kami optimistik mengenai industri pembinaan yang didokong oleh inisiatif kerajaan berkaitan pembinaan infrastruktur dan pembangunan perumahan.

 

“Malah, program vaksinasi yang dipergiatkan setia hari akan memainkan peranan penting kepada proses pemulihan ekonomi negara.

 

“Bersama dana yang diraih daripada proses IPO, Nestcon berada di kedudukan terbaik untuk mengaut manfaat daripada pertumbuhan industri di masa hadapan. Tentunya ini faktor kami mengalu-alukan lembaran baru bagi nestcon,” kata Lim.

 

Nestcon mencatat perolehan sebanyak RM95.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (1QFY21). Keuntungan bersih adalah sebanyak RM3.7 juta atau 3.9% bagi tempoh tersebut.

 

Kumpulan juga memiliki buku tempahan yang teguh sebanyak RM1.9 bilion daripada pelanggan, dengan RM1.2 bilion belum dibilkan. – DagangNews.com