Saham perbankan, perladangan lonjak KLCI ditutup hampir 31 mata lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Saham perbankan, perladangan lonjak KLCI ditutup hampir 31 mata lebih tinggi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bursa tempatan meneruskan lonjakan didorong sentimen positif dalam pasaran sekali gus menandakan kemelut politik yang semakin reda. 

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI ditutup 30.94 mata atau 2.03% lebih tinggi kepada 1,553.37 mata berbanding penutupan semalam pada 1,522.43 mata, menjadikan ia paras tertinggi dalam tempoh 2 bulan.

 

Jumlah dagangan pula sebanyak 4.45 bilion bernilai RM3.15 bilion dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 811 berbanding 319. 

 

Bagaimanapun, 391 kaunter tidak berubah manakala 697 kaunter tidak diniagakan ketika pasaran berakhir petang ini. 

 

Public Investment Bank Research dalam nota kajian berkata, KLCI mungkin diniagakan tinggi hari ini selepas saham di Wall Street melonjak mencecah paras tertinggi dan komoditi juga mengukuh pada Isnin.

 

"Ini secara tidak langsung, mengikis kerugian yang dialami minggu lalu apabila Amerika Syarikat (AS) memberi kelulusan penuh bagi suntikan vaksin BioNTech/Pfizer.

 

"S&P 500 juga meningkat 0.9%, dengan hampir tiga perempat syarikat dalam indeks itu meningkat," katanya.

 

Bagi pasaran tempatan, saham wajaran tinggi berkaitan perbankan dan perladangan ditutup tinggi sekali gus membantu menyokong dagangan KLCI yang lebih mantap. 

 

Saham perbankan didahului Hong Leong Finance ditutup 70 sen lebih tinggi kepada RM18.02 diikuti Hong Leong Bank naik 60 sen kepada RM19.

 

Ini diikuti dengan Public Bank menokok 17 sen kepada RM4.11, CIMB menokok 15 sen kepada RM4.83 dan Maybank naik 15 sen kepada RM8.32.

 

Bagi kaunter perladangan pula, Kuala Lumpur Kepong (KLK) berakhir tinggi pada RM20.50 setelah meningkat 42 sen diikuti Sime Darby Plantation menokok 25 sen kepada RM4.16 dan IOI Corp. naik 14 sen kepada RM3.89. 

 

Kaunter untung menyaksikan saham Genetec Technology mendahului dagangan dengan menokok RM3.74 kepada RM27.80, manakala Tafi Industries berakhir di kaunter rugi dengan susut 28 sen kepada RM2.15. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif pula, saham Dagang Nexchange paling rancak diniagakan dengan berakhir pada 76.5 sen setelah meningkat 3 sen. 

 

Selain itu, saham Focus Dynamic Group juga berakhir di kaunter aktif menokok 0.05 sen kepada 4.5 sen diikuti AE Multi Holding naik 0.05 sen kepada 4.5 sen, Kanger International naik 0.05 sen kepada 6 sen dan Serba Dinamik menokok 0.05 sen kepada 42 sen. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit juga ditutup tinggi pada RM4.2150/2180 berbanding dolar AS, daripada penutupan semalam pada, RM4.2245/2275. - DagangNews.com