Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Momentum indeks penanda aras pasaran ekuiti tempatan untuk ‘mendarat’ paras 1,615 tidak berhasil apabila terdapat penjualan lewat semalam.
Ini terutamanya melibatkan kaunter sarung tangan yang menerima tekanan penjualan saham apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ‘ketibaan’ vaksin COVID-19 pertama ke Malaysia pada Ahad ini.
Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI menokok 3.37 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,606.14 kepada 1,609.51.
Namun, setelah dua minit didagangkan, FBM KLCI jatuh di bawah paras ditutup semalam sehingga mencecah 1,604.84.
Walaupun FBM KLCI mungkin melihat pemulihan melebihi paras 1,610, namun jumlah dagangan yang meningkat menunjukkan bahawa pelabur runcit kembali semula, menurut Rakuten Trade Research.
“FBM KLCI sekali lagi tewas dengan aktiviti penjualan lewat terutamanya dalam kaunter sarung tangan.
“Kami mendapati pelaburan beralih ke syarikat dengan permodalan lebih kecil.
“Kami menjangkakan minat melabur akan kekal terhadap saham minyak dan gas dengan mentah Brent melepasi paras AS$63 setong,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, Wall Street ‘menarik nafas’ sebentar memandangkan kadar hasil bon yang meningkat mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap kemungkinan kos pinjaman yang lebih tinggi.
“Sementara S&P 500 dan Nasdaq berakhir lebih rendah, Dow Jones Industrial Average ditutup 64 mata lebih tinggi kepada rekod baharu melebihi paras 31,500,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com