Saham TNB melonjak 1.31% ketika ditutup | DagangNews Skip to main content

Saham TNB melonjak 1.31% ketika ditutup

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Nilai saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaksikan lonjakan tinggi sehingga 1.31% atau 14 sen kepada RM10.80 ketika pasaran ekuiti tempatan ditutup pada hari ini.

 

Setakat 5 petang, TNB menyaksikan nilai pasaran sebanyak RM61.61 bilion dengan 5.71 bilion jumlah terbitan saham.

 

Momentum lonjakan itu masih berterusan selepas syarikat utiliti berkenaan mengumumkan tarikh tanpa dividen dan pembayarannya, semalam, masing-masing jatuh pada 30 Mac dan 16 April.

 

Untuk rekod, TNB berhasrat untuk membayar jumlah dividen sebanyak 58 sen yang terdiri daripada 18 sen dividen akhir dan 40 sen dividen khas bagi suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia yang berbeza, TNB juga mengesahkan bahawa anak syarikatnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. telah menerima surat pemberitahuan sebagai pembida yang disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membangunkan solar fotovoltaik (PV) 50MWa.c. (75MWd.c.) di Bukit Selambau, Kedah.

 

Katanya, surat itu memberitahu bahawa TNB Renewables perlu memenuhi beberapa syarat yang akan dikeluarkan oleh EC kelak.

 

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini mendedahkan saham TNB antara yang menerima aliran masuk asing tertinggi pada minggu lalu berakhir 12 Mac 2021. 

 

“Mereka membeli, terutamanya saham dalam sektor penjagaan kesihatan, produk pengguna dan tenaga. 

 

“Tiga saham yang menarik pembelian asing adalah Supermax, Tenaga Nasional dan DNeX, sementara saham dengan aliran keluar asing tertinggi adalah Telekom, Inari dan UWC,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com