KUALA LUMPUR 4 Nov - Firma kejuruteraan air dan air sisa Salcon Bhd menandatangani perjanjian dengan Appraisal Property Management Sdn Bhd (APM) untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi pekerja APM ke tapak pelanggannya.
Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, Salcon berkata anak syarikat milik penuhnya Eco-Coach & Tours (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan APM, dengan tugas itu bermula pada 1 Mac 2023 hingga 31 Disember 2026.
Aktiviti utama APM adalah untuk menjalankan perkhidmatan pengurusan harta atau kemudahan.
Menurut Salcon, bayaran kontrak untuk pekerjaan itu adalah kira-kira RM9.08 juta setahun (tidak termasuk cukai kerajaan 6%).
"Harga di atas adalah berdasarkan harga bahan api @RM2.15 seliter. Harga ini ditetapkan melalui tempoh kontrak kecuali untuk perubahan statuari," tambahnya.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Salcon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2026. - Dagangnews.com