Tan Sri Muhyiddin Yassin berbual dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Durian Chondong di Pagoh pada 9 Januari 2022.
PAGOH 9 Jan - Segala bantuan hendaklah disalurkan secepat mungkin kerana mangsa banjir sangat memerlukannya lebih-lebih lagi menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina Yang bakal menjelang.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pastinya bantuan tersebut sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang akan merayakannya.
''Apa yang menjadi harapan mangsa banjir adalah bantuan pasca banjir dapat diteruskan selepas musibah ini berakhir.
''Bantuan yang diperlukan termasuklah kerja-kerja membersihkan rumah, membaiki kerosakan dan kemusnahan serta menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan tempat berlindung,'' katanya dalam hantaran di facebooknya malam ini.
Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa meninjau sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dalam Parlimen Pagoh.
PPS tersebut adalah Durian Chondong yang menempatkan 15 keluarga, Felda Sri Jaya (10), Sekolah Agama Penchu (10), SJKC Kung Yu, Kundang Ulu (36), Sek. Agama Bukit Rahmat (21), SK Bukit Rahmat (31), SJKC Pei Eng (34), SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (80) dan Dewan Serbaguna Pagoh (31 keluarga).
Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun keadaan cuaca sudah baik dan tidak lagi hujan, masih ada mangsa banjir yang perlu berlindung di PPS kerana kawasan atau rumah mereka masih digenangi air.
''Sepanjang berbual dan menyantuni mereka, rata-rata melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan layanan yang diterima ketika berada di pusat penempatan sementara ini.
''Keperluan asas seperti makanan, pakaian serta penjagaan kesihatan terjaga,'' kata beliau.
Muhyiddin juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners, para sukarelawan dan orang perseorangan yang berterusan membantu mangsa banjir ini.
''Jasa dan sumbangan anda semua sungguh besar nilainya dan tidak terbalas,'' ujar Muhyiddin. - DagangNews.com