Gambar hiasan. - Selangorkini
SHAH ALAM 3 Mei – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menyeru agensi kerajaan termasuk penguatkuasaan, supaya mengamalkan pendekatan erundingan terhadap pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, sememangnya PKS mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), ada masanya wujud isu-isu di luar kawalan mereka.
Oleh itu ujar beliau, Samenta menyarankan supaya amaran keras yang diberikan bagi mereka yang didapati melanggar SOP bagi kesalahan pertama, atau denda lebih kecil berbanding denda maksimum RM50,000 yang kini lazim dikeluarkan.
“Kami bukan menentang penguatkuasaan SOP, malah mengalu-alukannya. Namun, kami menggesa pendekatan perundingan digunakan ketika kita menyeimbangkan keperluan untuk pengawalan pandemik COVID-19 dan memastikan kesinambungan hidup ekonomi rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ng yang juga Pengerusi Hubungan Kerajaan dan Polisi Samenta berkata, Samenta memandang berat denda maksimum yang dikenakan terhadap penjaja yang didapati beroperasi melebihi waktu semasa PKP.
“Kami menyeru semua PKS supaya lebih prihatin untuk mematuh sepenuhnya SOP, termasuk masa penimbal bagi membolehkan pelanggan mereka mematuhi SOP.
“Ini bagi mengelakkan konfrontasi yang tidak perlu dengan pihak berkuasa dan membantu negara mengekang angka kes positif COVID-19 sekarang,” kata beliau. – DagangNews.com