SAMENTA sokong CPTPP tetapi PKS perlu bersedia sekarang | DagangNews Skip to main content

SAMENTA sokong CPTPP tetapi PKS perlu bersedia sekarang

KUALA LUMPUR 15 Nov – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyertai gesaan agar Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) secepat mungkin.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, walaupun Malaysia adalah antara penandatangan awal Perjanjian tersebut, negara ini tidak dapat memanfaatkan kadar tarif dan layanan istimewa yang disetujui oleh CPTPP sehingga kerajaan meratifikasi Perjanjian tersebut.

 

Katanya, CPTPP ialah perjanjian perdagangan pelbagai hala yang berkualiti tinggi dan menangani isu perdagangan yang telah lama wujud seperti halangan bukan tarif (NTB).

 

PKS khususnya kata beliau, lebih terdedah kepada NTB, dan keupayaan PKS untuk bersaing secara adil terhalang tanpa perjanjian perdagangan yang menangani isu tersebut.

 

Menurutnya, kawalan-kawalan pergerakan susulan pandemik COVID-19 ini telah mengakibatkan gangguan teruk kepada penyertaan negara dalam rantaian bekalan global.

 

Beliau berkata, sektor ekonomi memerlukan semua sokongan yang boleh kami peroleh daripada kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan global ini.

 

‘’Pengesahan awal CPTPP akan dilihat sebagai isyarat kepada rakan dagangan negara bahawa Malaysia pro-perniagaan dan menyokong rejim perdagangan yang adil dan telus.

 

``Walaupun kami menyokong ratifikasi awal Perjanjian, SAMENTA menggesa kerajaan untuk membantu PKS kami untuk bersedia menghadapi peningkatan pematuhan terutamanya dalam piawaian alam sekitar dan buruh,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Datuk William Ng
                               Datuk William Ng

 


Ng berkata, PKS faham bahawa sebagai sebahagian daripada konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), piawaian alam sekitar dan buruh semakin penting di pasaran global.

 

Walau bagaimanapun kata beliau, jika dibandingkan dengan ekonomi maju seperti Kanada, PKS di Malaysia mungkin kurang bersedia.

 

‘’Tambahan pula, perbezaan dalam piawaian alam sekitar dan buruh antara negara Malaysia dan negara lain mungkin mewujudkan lapangan persaingan yang kurang adil untuk pengeksport dari Malaysia terutamanya PKS,’’ ujarnya.

 

Ng berkata, sebagai persatuan PKS tertua di Malaysia, SAMENTA bersedia membantu kerajaan di dalam memastikan PKS Malaysia bersedia dan dapat memanfaatkan CPTPP secara sepenuhnya. – DagangNews.com