Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 April - Samsung berjaya mengungguli jenama-jenama lain untuk tampil sebagai pengeluar telefon pintar utama dunia bagi tempoh suku pertama 2021 (Q121).
Kedudukan pengeluaran itu dikeluarkan oleh StrategyAnalytics dalam laporan pengedaran telefon pintar bagi suku pertama 2021 baru-baru ini.
Dalam laporan berkenaan, Samsung berjaya mengeluarkan sebanyak 77 juta unit telefon pintar pada suku pertama 2021, berbanding 58 juta unit pada suku sama tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, Samsung secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan pengeluaran suku berkenaan sebanyak 32% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Apple menempatkan diri di tangga kedua yang diikuti oleh Xiaomi di tangga ketiga.
Kedua-dua jenama berkenaan masing-masing mencatatkan pengeluaran sebanyak 57 juta dan 49 juta unit pada suku berkenaan.
Dalam pada itu, kedudukan keempat dan kelima menyaksikan jenama telefon pintar Oppo dan Vivo apabila masing-masing mengeluarkan telefon pintar sebanyak 23 juta dan 20 juta unit untuk tempoh suku pertama 2021.
Menariknya, Xiaomi dan Vivo mencatatkan peningkatan pengeluaran paling tinggi iaitu sebanyak 80% dan 85% berbanding jenama-jenama lain.
Jumlah keseluruhan pengeluaran telefon pintar pada suku berkenaan adalah sebanyak 340 juta unit yang turut disumbangkan oleh lain-lain jenama.
Jumlah berkenaan meningkat sebanyak 24% berbanding suku sama tahun sebelumnya iaitu 275 juta unit.
Jenama Huawei bagaimanapun gagal menempatkan diri dalam senarai berkenaan. - DagangNews.com