Santan, ZUS Coffee jalin kerjasama tawar kopi istimewa dalam penerbangan AirAsia | DagangNews Skip to main content

Santan, ZUS Coffee jalin kerjasama tawar kopi istimewa dalam penerbangan AirAsia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Santan, jenama hidangan dalam penerbangan AirAsia mengumumkan kerjasama dengan ZUS Coffee untuk menawarkan kopi istimewa dan meningkatkan pengalaman penerbangan para penumpang.

 

Kerjasama ini juga adalah usaha berterusan Santan untuk menawarkan menu inovatif dan lebih nilai kepada para tetamu.

 

Para penumpang AirAsia kini boleh memesan ZUS Spanish Latte dengan rasa santan yang berkrim, di semua dalam semua penerbangan AirAsia. 

 

Ia enak dihidangkan bersama-sama Nasi Lemak Pak Nasser dengan Rendang Ayam yang boleh dipesan melalui pek kombo ‘Hero Meets Hero’ yang turut boleh didapati di seluruh kedai ZUS Coffee di seluruh negara.

 

Pengurus Besar Operasi Runcit dan Makanan Santan, Catherine Goh berkata, pihaknya  berbangga untuk bergabung tenaga dan menyokong jenama Malaysia yang semakin berkembang. 

 

"Kerjasama dengan ZUS Coffee ini pastinya akan menawarkan pengalaman perjalanan yang luar biasa kepada para tetamu di mana mereka boleh menikmati secawan kopi dengan adunan terbaik di udara. 

 

"Sama ada anda seorang pencinta kopi atau ingin menghilangkan dahaga, adunan unik ini direka untuk semua. Tahun 2023 merupakan tahun yang berjaya buat Santan, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai bakat tempatan untuk meningkatkan lagi pengalaman para tetamu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

santan

 

 

Naib Presiden Pertumbuhan dan Pemasaran ZUS Coffee, Stephy Foong berkata, para pelanggan kini boleh menikmati Nasi Lemak Pak Nasser yang ikonik beserta kopi Iced Spanish Latte yang menjadi kegemaran ramai.  

 

"Ini ialah usaha kami untuk memperkenalkan rasa Malaysia kepada semua. Kami berharap melalui kerjasama dengan Santan ini, kami dapat mencipta kelainan dalam minuman tempatan yang digemari ramai," katanya.

 

Santan juga meraikan jualan kopi Santan 92’ Signature Blend yang telah berjaya dijual kira-kira satu cawan seminit di udara. Dilancarkan pada Julai beserta Nasi Lemak berasaskan tumbuhan yang menjadi kegemaran para tetamu AirAsia, menu tersebut kini menjadi buruan openggemar kopi di seluruh dunia dan memperoleh penarafan 92 mata yang mengagumkan daripada Coffee Review, halaman Panduan Kopi Terkemuka di Dunia.

 

Bukan sekadar kopi biasa, Santan 92' Signature Blend diinovasikan dengan teknologi SuperCooling Santan tersendiri untuk mengekalkan rasa dan aroma yang luar biasa dan disediakan oleh kru kabin AirAsia mengikut pesanan. 

 

Santan juga memperkenalkan menu baharu ‘Mala Stir Fry Hot Pot Noodles’ yang tersedia untuk pra-tempahan dalam penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7). Menu 'Ayam Panggang dengan Sos Lada Hitam' juga kini boleh didapati di dalam semua penerbangan AK dan D7 sehingga stok masih ada. - DagangNews.com