Saran 'tambah' saham FMH, pembelian tanah positif kepada kumpulan | DagangNews Skip to main content

Saran 'tambah' saham FMH, pembelian tanah positif kepada kumpulan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Freight Management Holdings Bhd. (FMH) dijangka membina hab logistik bersepadu berikutan cadangan pembelian tanah perindustrian seluas 9.3 ekar di Kapar, Selangor pada nilai RM56.84 juta. 

 

Kemudahan ini termasuklah perkhidmatan e-dagang dan penghantaran barangan, sekali gus membolehkan FMH mengembangkan perkhidmatan gudang dan pengedaran yang menyaksikan permintaan kukuh.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter AW menjangkakan FMH mungkin menanggung jumlah perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM130 hingga RM150 juta bagi projek ini termasuk kos tanah tersebut dalam tempoh 2 hingga 3 tahun.

 

Katanya, memandangkan gearan bersih FMH pada kadar 0.15x (setakat akhir suku ketiga tahun kewangan 2021), syarikat itu dijangka membiayai projek itu melalui pinjaman dan dana dalaman.

 

"Tetapi, kami belum mengambil kira kesan hab logistik bersepadu ini dalam anggaran pendapatan tahun kewangan 2021-2023. 

 

"Kami melihat FMH bersedia untuk mendapat manfaat insentif cukai dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan pembinaan hab ini.

 
"Oleh itu, anggaran kadar cukai dan capex kami bagi tempoh itu masing-masing pada 25% dan RM15 juta," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

FMH sebelum itu mengumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi insentif cukai ke atas perbelanjaan capex sehingga RM245 juta dalam tempoh 5 tahun untuk menjadi penyedia perkhidmatan logistik bersepadu.  

 

Semalam, FMH menerusi anak syarikat milik penuhnya, FM Global Logistics (M) Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli dengan Cebur Megah Development Sdn. Bhd. bagi pembelian tanah tersebut.

 

Kumpulan menjangkakan kedudukan lokasi yang strategik itu membolehkan cadangan pengambilalihan itu menyumbang secara positif kepada pertumbuhan FMH.

 

Setakat ini, CGS-CIMB tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021-2023 sementara menunggu perkembangan seterusnya berhubung langkah tersebut.

 

Firma itu bagaimanapun, mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham FMH dengan harga sasaran pada RM1.20. 

 

Setakat 10.53 pagi ini, saham FMH susut 0.15 sen kepada 62.5 sen dengan 446,200 saham diniagakan. - DagangNews.com