Sarawak rancang perluas Sistem Transit Aliran Autonomi ke Batu Kawah | DagangNews Skip to main content

Sarawak rancang perluas Sistem Transit Aliran Autonomi ke Batu Kawah

 Sistem Transit Aliran Autonomi (ART). Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching akan dikembangkan ke Batu Kawah dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengembangan itu dimulakan setelah selesai pelaksanaan Fasa 1 ART yang melibatkan laluan Kuching ke Samarahan sehingga 2025.

 

"Dalam tempoh sehingga 2025, kita ada Fasa 1 ART yang dilaksanakan Sarawak Metro.

 

“Pada Fasa 2, ART akan dikembangkan ke Batu Kawah ke Bau terus ke Lundu dan Sematan.

 

“Inilah rancangan kita setelah selesai Fasa 1 ART. Dalam tempoh 2025 hingga 2030, kita akan membangunkan kawasan ini dengan ART melintasi Batu Kawah,” katanya seperti dilapor Dayak Daily.

 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Dewan Sukan dan Komuniti Batu Kawah di bekas tapak kuari Ang Cheng Ho semalam.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelaksanaan ART tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Bahagian Kuching yang melibatkan Batu Kawah, Bau dan Lundu.

 

Ujian percubaan ART bakal dilakukan selewat-lewatnya pada 2023.

 

Sebagai permulaan, sistem ini akan menggunakan laluan yang dikenal pasti di sekitar bandaraya Kuching.

 

Laluan dicadangkan (Fasa 1) adalah dari Kuching ke Samarahan dan Kuching ke Batu 12 (Jalan Kuching-Serian). - DagangNews.com