Satu lagi kenaikan 25 mata asas menanti November ini menjadikan OPR 2.75% - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Satu lagi kenaikan 25 mata asas menanti November ini menjadikan OPR 2.75% - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - MIDF Research percaya kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga berturut-turut kepada 2.5% seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini adalah bagi memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Malah, firma itu menjangkakan kadar faedah itu akan dinaikkan lagi 25 mata asas kepada 2.75% dalam Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) pada November ini. 

 

Ia berdasarkan kepada kenaikan inflasi teras dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan. 

 

"Bagaimanapun, keputusan menaikkan kadar ini bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam persekitaran makroekonomi khususnya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik semakin berkembang.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi pada masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam keberhutangan isi rumah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Seperti dijangka, BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%

 

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75% dan 2.25%.

 

BNM dalam kenyataannya menjelaskan pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

 

Bank pusat mengunjurkan inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga ini sebelum menurun selepas itu disebabkan kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2 hingga 3% tahun ini, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.

 

Mengenai kebimbangan ringgit, MIDF Research berpendapat, penyusutan mata wang tempatan itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah emata-mata disebabkan pengukuhan dolar AS kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka terus memilih pengetatan dasar monetari yang agresif.

 

"Berbanding mata wang utama, ringgit masih menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding euro, pound, yen dan dolar Australia (AUD). 

 

"Pada asas tahunan, purata susut nilai ringgit berbanding dolar AS ialah -4.4% tahun ke tahun diikuti euro (6.7%), pound (4.1%), Yen (11.2%) dan AUD (2.4%)," jelasnya. - DagangNews.com