''Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat'' kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

''Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat'' kata Muhyiddin

 PUTRAJAYA 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip untuk kekal sebagai perdana menteri tetapi itu bukan cara beliau.

 

''Itu bukan pilihan saya. Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,'' katanya semasa mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri menerusi televisyen sebentar tadi.

 

Muhyiddin berkata, bagi dirinya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik beliau.

 

''Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

 

''Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi.

 

''Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik,'' kata beliau. - DagangNews.com