KUALA LUMPUR 2 Nov - SBH Kibing Solar New Materials Sdn Bhd telah membuka kilang pembuatan baharu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), yang berkeluasan 52.6 hektar, yang bernilai RM3 bilion.
Ini merupakan kilang kedua syarikat itu di Malaysia selepas kilang pertama di Negeri Sembilan, yang mengeluarkan kaca terapung, ultra-jernih dan bersalut sejak 2017.
Menurut kenyataan media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kilang yang menghasilkan kaca fotovolta solar itu disasar mewujudkan 1,400 pekerjaan, dengan komitmen sekurang-kurangnya 90% jawatan diisi oleh rakyat Sabah.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh pegawai MIDA dan kerajaan negeri Sabah serta Pengerusi Kibing Group, Yu Qibing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengalu-alukan pengembangan SBH Kibing Solar bernilai RM3 bilion melalui kilang pembuatan keduanya di Sabah.
"Ini mencerminkan keyakinan syarikat terhadap daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan, serta dasar kami terhadap pengilangan mampan dan ekonomi hijau, khususnya seperti yang ditekankan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.
Tengku Zafrul berkata pelaburan signifikan dalam kilang baharu itu menegaskan kedudukan Malaysia sebagai penggiat utama dalam rantaian nilai pembuatan lengkap untuk PV solar, di samping matlamat pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi tersebut optimis bahawa kemudahan pembuatan kaca fotovolta solar baharu terbabit akan menjadi panduan kepada seluruh industri, mendorong orang lain untuk mencontohinya dan menyumbang kepada kemajuan dan pencapaian bersama.
"Limpahan daripada pelaburan ini pastinya akan memberi manfaat kepada Sabah dalam pelbagai aspek, termasuk pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan.
“Ini sudah pasti akan membantu kemajuan negeri menjadi pusat pembuatan yang berkembang maju dan merangsang pembangunan ekonomi Sabah," katanya. - DagangNews.com