SC anjurkan forum ‘Bersama InvestSmart’ di VivaCity Megamall, Kuching 17-18 Sept 2022 | DagangNews Skip to main content

SC anjurkan forum ‘Bersama InvestSmart’ di VivaCity Megamall, Kuching 17-18 Sept 2022

KUCHING 13 Sept - Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia akan menganjurkan forum 'Bersama InvestSmart @Sarawak 2022' di VivaCity Megamall pada 17 dan 18 September ini, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan dan persaraan serta penipuan pelaburan dan penipuan dalam kalangan orang ramai.

 

Acara itu adalah sebahagian daripada inisiatif InvestSmart SC, jangkauan celik pelaburan komprehensif dan inklusif yang dilancarkan pada 2014 yang sejak itu telah menjangkau pelabur di seluruh negara melalui seminar, jerayawara dan penglibatan komuniti serta saluran digital, kata SC.

 

Acara dua hari yang bertemakan ‘Silap Labur Duit Lebur’ itu juga bertujuan mewujudkan kesedaran tentang peluang meningkatkan kekayaan dengan melabur dalam produk pelaburan sah yang ditawarkan dalam pasaran modal Malaysia.

 

Acara tahun ini akan menghimpunkan institusi pasaran modal, persatuan, pemain industri dan agensi berkaitan di bawah satu bumbung untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengantara pasaran modal termasuk saham, bon, unit amanah, skim persaraan swasta (PRS), dana dagangan bursa ( ETF), pendanaan ramai ekuiti (ECF), pembiayaan rakan ke rakan (P2P), pengurusan pelaburan digital (DIM) dan pertukaran aset digital (DAX).

 

Ia akan menampilkan lebih 25 peserta pameran yang mewakili peserta pasaran modal utama di Sarawak serta ceramah dan perbincangan panel oleh pakar industri yang akan berkongsi pandangan mereka tentang pasaran modal Malaysia dan peluang pelaburan yang ada.

 

"Orang ramai yang menghadiri acara berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan menyertai kuiz pop yang diadakan sepanjang acara berlangsung," kata SC dalam kenyataan hari ini.

 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, SC akan menawarkan sesi perancangan kewangan percuma di bawah #FinPlan4u.

 

Perancang kewangan berlesen akan memberikan 160 sesi percuma sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, tersedia berdasarkan siapa cepat dia dapat.

 

Untuk maklumat lanjut tentang InvestSmart® Fest, sila lawati akaun media sosial rasmi InvestSmart® di Facebook, Twitter dan Instagram. — DagangNews.com