KUALA LUMPUR 24 Nov - Had tempoh selama 12 tahun mandatori bagi jawatan pengarah bebas akan diperkenalkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Keperluan Penyenaraian pada tahun depan.
Menurut SC dalam laporan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG), pengenalan had mandatori itu dijangka dapat meningkatkan ketelusan kedudukan Lembaga Pengarah termasuk membabitkan dasar syarikat.
Setakat 31 Oktober lalu, katanya, sebanyak 46% daripada syarikat tersenarai memiliki sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas yang telah lama berkhidmat dalam Lembaga Pengarah membabitkan tempoh 9 tahun atau lebih.
"Malah, terdapat sejumlah 500 jawatan Lembaga Pengarah dipegang oleh pengarah bebas yang sama dalam tempoh lebih daripada 12 tahun dengan 89 daripadanya berkhidmat lebih 20 tahun.
"Bagi sesetengah lembaga pengarah pula, cabarannya adalah lebih teruk kerana mereka mempunyai 2 atau 3 pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan selama 30 tahun," katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, badan pengawal selia berkenaan mengambil langkah progresif untuk menangani isu berkenaan dengan memperkenalkan proses pengundian 2 peringkat pada 2017.
Menerusi langkah itu, didapati 164 syarikat tersenarai telah menggunakan proses 2 peringkat bagi tahun pertama ia diperkenalkan.
"Bagaimanapun, berdasarkan semakan SC, 98% daripada resolusi 2 peringkat telah diluluskan sekali gus menimbulkan kebimbangan pemegang saham mungkin tidak menghargai sepenuhnya isu berkaitan dengan tempoh yang panjang ini dan keperluan Lembaga Pengarah yang lebih 'segar'," katanya.
SC mengeluarkan laporan berkenaan, antara lain, untuk meningkatkan pencapaian matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepimpinan lembaga pengarah.
Ia menggariskan 11 inisiatif yang disasarkan seperti program induksi untuk para pengarah mengenai kemampanan, siri pendidikan pelabur berhubung tadbir urus korporat dan kemampanan, dan peningkatan kerjasama dengan universiti untuk meningkatkan kefahaman para belia mengenai isu semasa tadbir urus korporat dan kemampanan.
Keutamaan Strategik CG merupakan komponen penting Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada September 2021 yang menyediakan hala tuju bagi pasaran modal Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Laporan itu dirumus berasaskan rancangan SC sebelumnya bagi 2017 hingga 2020, di mana skor pelaksanaan sebanyak 90% telah dicapai.
Sementara itu, dalam taklimat teknikalnya seperti dilapor Bernama, SC tegas dengan pendiriannya untuk tidak menggalakkan ahli politik yang aktif dilantik dalam kepimpinan lembaga pengarah syarikat
Katanya, ini bagi memastikan kepimpinan lembaga pengarah syarikat senaraian awam lebih berdaya tahan, inovatif dan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk melaksanakan strategi dan kaedah baharu sebagai tindak balas kepada keadaan perubahan pasaran.
“Kami telah menangani isu ini dan cadangan kami adalah untuk tidak menggalakkan pelantikan ahli politik yang aktif. Ini adalah pendirian SC,” katanya.
SC sebelum ini telah menyatakan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang telah dikemas kini bahawa lembaga pengarah juga mesti mengambil kira amalan terbaik yang disyorkan berhubung dengan pelantikan lembaga pengarah. - DagangNews.com