SC berusaha transformasikan sektor agri menerusi fintech, pembiayaan alternatif | DagangNews Skip to main content

SC berusaha transformasikan sektor agri menerusi fintech, pembiayaan alternatif

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pasaran modal boleh menjadi pemboleh dan pemecut yang berkuasa untuk membantu Malaysia mencapai agenda jaminan makanan.

 

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, akses kepada kewangan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah untuk pertanian.

 

Katanya, ini khusus untuk pekebun kecil dan usahawan pertanian yang ingin memodenkan pertanian dan mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

"Saluran pembiayaan alternatif seperti pembiayaan pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan rakan setara (P2P) membolehkan pelabur yang mempunyai selera risiko yang lebih besar dapat menggerakkan modal secara terus kepada usahawan tani.

 

"Ini menyediakan lebih banyak pilihan untuk syarikat yang lebih muda dan mempunyai pertumbuhan tinggi untuk mengakses modal yang berkaitan dengan profil risiko perniagaan mereka," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada persidangan Teknologi Kewangan (Fintech) SC x SC di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, sejak diperkenalkan pada 2015, kedua-dua ECF dan P2P telah menyokong lebih 7,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), membantu mereka mengumpul lebih RM4.4 bilion.

 

 

sc
                       Datuk Dr Awang Adek Hussin

 

 

"Daripada jumlah itu, hanya 600 PKS berkaitan pertanian di seluruh rantaian nilai iaitu huluan, pertengahan dan hiliran, telah mengumpul hampir RM300 juta dan ini menunjukkan masih ada ruang untuk pertumbuhan.

 

"Di samping itu, saya ingin bercakap mengenai Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) yang telah berkesan dalam membantu usahawan tani untuk mendapatkan pembiayaan melalui ECF dan P2P.

 

"Seperti yang anda sedia maklum, kerajaan telah menubuhkan MyCIF pada 2019 untuk melabur bersama pelabur swasta dalam PMKS dan Perusahaan Sosial melalui platform ECF dan P2P," katanya.

 

Malah, Malaysia katanya adalah negara pertama di rantau ini yang menerima pakai model pelaburan khusus untuk platform kewangan alternatif.

 

Awang Adek berkata, MyCIF memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan kepada PMKS semasa pandemik COVID-19, lapor Berita Harian.

 

"Ia telah membantu dan menurunkan nisbah pelaburannya kepada 1:2 untuk membolehkan lebih banyak lagi dana untuk disalurkan kepada PMKS.

 

"Hasilnya, jumlah yang diperoleh pada ECF dan platform P2P meningkat lebih daripada 300 peratus antara 2019 dan 2021. Pada 2022, MyCIF memperkenalkan nisbah peruntukan khas 1:2 untuk sektor pertanian.

 

"Kami telah melihat daya tarikan untuk inisiatif ini. Pada 2022, empat kali ganda jumlah perniagaan pertanian mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P," katanya. - DagangNews.com