SC-Bursa Malaysia benarkan terbitan hak melalui kelulusan pemegang saham layak | DagangNews Skip to main content

SC-Bursa Malaysia benarkan terbitan hak melalui kelulusan pemegang saham layak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Syarikat tersenarai awam (PLC) dan amanah pelaburan hartanah tersenarai (REIT) kini boleh menerbitkan saham hak selepas menerima kelulusan daripada pemegang saham yang diberikan kuasa untuk berbuat demikian menerusi sebuah mesyuarat agung.

Ini berikutan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia membenarkan pelepasan sementara, berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2021 kepada syarikat yang layak untuk melaksanakan terbitan hak.

Menerusi kenyataan bersama SC dan Bursa Malaysia, langkah berkenaan bakal mempercepat pelaksanaan terbitan hak oleh PLC dan REIT kepada pemegang ekuiti sedia ada berdasarkan pro rata sehingga 50% daripada jumlah keseluruhan terbitan saham atau unit. 

Bagaimanapun, langkah itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk terbitan berkenaan perlulah menawarkan ciri-ciri minimum (plain vanilla) di mana hanya boleh digunakan untuk saham atau unit biasa dan bukannya melibatkan sekuriti lain seperti saham waran atau saham boleh ditukar. 

“Di bawah proses ini, penerbit yang layak diberikan kelonggaran besar untuk menguruskan ketidaktentuan pasaran di samping membuat tuntutan modal dan kutipan dana sekunder yang pantas, tertakluk kepada beberapa perlindungan. 

“Sebagai contoh, penerbit yang layak perlu mempunyai pemegang sekuriti yang mengawalnya dan membenarkan pelaksanaan tanpa bantahan untuk melanggan mengikut hak penuh mereka, dengan tidak lebih daripada 30% diskaun daripada teori harga tanpa hak ke atas terbitan saham atau unit berkenaan,” kata kenyataan itu. 

Jelas SC dan Bursa Malaysia, banyak penerbit yang layak berdepan cabaran operasi termasuk kutipan modal bekerja dan pembayaran semula pinjaman bank disebabkan oleh pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Proses terbitan hak yang pantas membolehkan penerbit layak menjadi lebih tangkas memandangkan mereka boleh mengumpul dana daripada pemegang sekuriti sedia ada dalam tempoh masa lebih singkat untuk memenuhi keperluan modal dan kewangan mereka,” tambah kenyataan berkenaan. - DagangNews.com