Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan akan berhubung dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan pihak terbabit untuk mendapatkan penjelasan mengenai tuntutan konflik kepentingan terhadap Azam, yang didakwa memiliki kira-kira dua juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam.
"SC akan berhubung dengan pihak yang terlibat, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan untuk mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan," kata SC dalam satu kenyataan.
Pengawal selia itu, bagaimanapun, tidak menyatakan nama pihak lain, selain Azam, yang akan dihubunginya untuk memudahkan siasatan terhadap dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut.
Kenyataan SC pada Khamis dikeluarkan berikutan laporan berita sehari sebelumnya bahawa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM mendapati tiada kelakuan jenayah atau konflik kepentingan melibatkan Azam dalam perdagangan saham yang dilakukan pada 2015.
Pengerusi lembaga itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata dalam mesyuarat khas pada 24 November 2021 meminta penjelasan Azam mengenai perkara itu.
Azam mendakwa, akaun dagangan sahamnya digunakan oleh abangnya, Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.
Abu Zahar, yang bercakap pada sidang media berkata, pembelian saham itu dibuat di pasaran terbuka tanpa konflik kepentingan, dan saham itu dipindahkan kepada Nasir dalam tahun yang sama.
Semalam, Azam menafikan sekeras-kerasnya terhadap tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini dan menganggap ia satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM
Dalam pada itu SC, berkata di bawah Seksyen 25 Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.
"Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa," tambah pengawal selia itu. -DagangNews.com