SC lancar Fikra, rancakkan fintech Islam di Malaysia | DagangNews Skip to main content

SC lancar Fikra, rancakkan fintech Islam di Malaysia

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan United Nations Capital Development Fund (UNCDF) melancarkan Fikra Islamic Fintech Accelerator Programme (Fikra) hari ini. 

 

Program itu direka khusus bagi membangunkan ekosistem inovasi fintech Islam yang rancak di pasaran modal Islam Malaysia (ICM).

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar said berkata, fintech Islam masih berada di tahap awal dalam pasaran modal Malaysia tetapi mempunyai potensi pertumbuhan yang besar jika berada dalam ekosistem yang tepat. 

 

Katanya, inisiatif di bawah Fikra ini dalam membantu membangunkan fintech Islam dan mewujudkan ekosistem yang dapat memupuk bakat-bakat berpotensi, menjana inovasi, idea komersial dan penyelesaian serta mewujudkan peluang pekerjaan. 

 

"Dengan aset kewangan Islam dijangka berkembang hampir AS$4 trilion menjelang 2024, penggunaan teknologi digital akan menjadi kunci utama kepada pasaran Islam meningkatkan potensi.

 

"Oleh itu, pengembangan fintech Islam adalah elemen penting dalam meletakkan kedudukan Malaysia  sebagai pusat kewangan Islam global," katanya ketika majlis pelancaran Fikra secara maya hari ini.

 

Fikra bertujuan untuk mengenal pasti dan mengukur penyelesaian fintech Islam yang relevan dan inovatif bagi membantu menangani 3 bidang cabaran utama iaitu, penawaran ICM baharu, akses dan integrasi kewangan sosial.

 

Syarikat permulaan yang menyertai inisiatif Fikra ini akan memperoleh manfaat daripada garis panduan pengawalseliaan, program mentor dan juga rangkaian sosial.

 

Metodologi yang digunakan bagi program ini dibangunkan oleh UNCDF berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini mengendalikan inovasi menerusi Makmal Inovasi Kewangan (FinLab) dan kini diperluaskan untuk menangani inisiatif berkaitan kewangan di bawah Centre for Financial Health.

 

Di bawah inisiatif ini, peserta mempunyai peluang untuk bekerja rapat dengan rakan industri Fikra seperti Bank Islam, Gobi Partners, Kenanga Investment Bank dan Permodalan Nasional Berhad.

 

Program ini dibuka untuk pendaftaran dan dijadual bermula Julai 2021 bagi tempoh selama 3 bulan dan menjadi kemuncak hari demo maya awam ketika Persidangan Fintech SCxSC 2021.

 

Syed Zaid berkata, fintech amat bersesuaian untuk menggalakkan inklusif kewangan, dengan mengambil contoh, segmen pengurusan pelaburan digital menyaksikan penyertaan dalam kalangan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000.

 

"Menyedari keprihatinan dalam mengurus dan meningkatkan simpanan yang sukar diperoleh, ini jelas juga bahawa kami memerlukan penyelesaian untuk mengatasi kekurangan literasi kewangan dan kemampuan pelabur untuk memulakan dan mengekalkan pelaburan jangka panjang.

 

"Akhirnya, ini dapat mencapai tujuan untuk meningkatkan kewangan dan menangani masalah sosial terutama kemiskinan di usia tua dan tidak mempunyai dana mencukupi untuk persaraan," katanya. - DagangNews.com