SC mendakwa Pixelvest dan bekas pengarah Infinity Trustee atas tuduhan aktiviti pasaran modal tidak berlesen | DagangNews Skip to main content

SC mendakwa Pixelvest dan bekas pengarah Infinity Trustee atas tuduhan aktiviti pasaran modal tidak berlesen

KUALA LUMPUR 13 Mei - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendakwa dua syarikat dan seorang individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.

 

Dalam satu kenyataan, SC berkata Pixelvest Sdn Bhd didakwa atas satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen pada 10 Mei 2024.

 

Pixelvest, yang diwakili pengarahnya Dexter Ang Jen Chuen, meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin.

 

Ini berikutan pertuduhan yang difailkan oleh SC terhadap Infinity Trustee Bhd (ITB) pada 30 April 2024, dengan dua pertuduhan di bawah seksyen 58(1) dibaca bersama seksyen 370(b) CMSA.

 

“Kesalahan itu adalah berhubung dengan ITB memindahkan dana berjumlah RM116.29 juta kepada Pixelvest melalui dua akaun sebagai lanjutan daripada kesalahan yang dilakukan oleh Pixelvest,” kata SC.

 

Wakil syarikat ITB, Tan Boon Hoong, telah membuat tuntutan dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

 

SC juga berkata bekas pengarah ITB Sophia Chin Wai Lan hari ini didakwa mengikut Seksyen 58(1), dibaca bersama Seksyen 370(b) dan 367(1), kerana memindahkan RM859,750 daripada akaun ITB ke Pixelvest. Chin juga minta dibicarakan.

 

Hakim tidak mengenakan sebarang jumlah jaminan, memandangkan syarat jaminan Chin yang sedia ada dalam kesnya yang sedang berjalan di mahkamah.

 

Kesalahan yang dilakukan Pixelvest dan Chin berlaku di Petaling Jaya, Selangor antara Disember 2020 dan Oktober 2022.

 

Pengurusan dana ialah aktiviti terkawal yang memerlukan lesen oleh SC di bawah Jadual 2 CMSA. Mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah CMSA yang boleh dihukum dengan denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya. - DagangNews.com