SC, MyCreative lancarkan pertandingan batik bagi promosikan warisan Malaysia ke persada global | DagangNews Skip to main content

SC, MyCreative lancarkan pertandingan batik bagi promosikan warisan Malaysia ke persada global

Bertemakan Batik Lestari, pertandingan itu bertujuan bagi menonjolkan kepelbagaian bakat di seluruh negara, memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk menyumbang tafsiran unik mereka terhadap reka corak batik Malaysia.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Suruhanjaya Sekuriti (SC) jalin kerjasama dengan Kumpulan MyCreative Ventures melancarkan pertandingan reka corak batik bagi mengetengahkan warisan batik Malaysia di persada global.

 

Ketika persediaan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, SC akan mengetuai inisiatif tersebut dalam urusan kewangan. 

 

Bertemakan Batik Lestari, pertandingan itu bertujuan bagi menonjolkan kepelbagaian bakat di seluruh negara, memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk menyumbang tafsiran unik mereka terhadap reka corak batik Malaysia.

 

Pertandingan itu juga menyasar untuk mempromosikan kemampanan, menggalakkan peserta menerokai amalan dan bahan mesra alam dalam reka corak dan penghasilan batik mereka.

 

nnn

 

Reka corak pemenang pertandingan itu akan digunakan dalam pelbagai elemen semasa ASEAN 2025, melambangkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

 

Mengulas mengenai pertandingan dan inisiatif Batik Lestari, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi menekankan komitmen SC dalam memperkasakan penggiat seni dan usahawan tempatan.

“Ini selaras dengan matlamat SC bagi memupuk pertumbuhan inklusif dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

“Ia juga memberikan peluang bagi SC memupuk ekonomi kreatif dan menyokong penggiat seni tempatan,” ulas beliau. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Zainariah Johari berkata, inisiatif Batik Lestari adalah peluang untuk membawa batik Malaysia ke peringkat seterusnya.

"MyCreative Ventures memainkan peranan penting dalam membawa kepakaran yang diperlukan dalam mendekati industri kreatif dan menyokong pertandingan ini melalui pangkalan data dan pengalamannya dalam menyokong industri kreatif sejak 2012," ujarnya. 

 

Penyertaan akan dibuka pada 16 September 2024 sempena Hari Malaysia sehingga tarikh tutupnya pada 18 Oktober 2024 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. 

 

Penyertaan akan dinilai berdasarkan persembahan keseluruhan, keaslian budaya dan kreativiti dalam penggunaan elemen motif Malaysia. 

 

Selain itu, kriteria lain termasuk tafsiran tema, kreativiti reka corak dan kombinasi warna juga akan dinilai. 

 

Daripada jumlah penyerahan, 40 reka corak teratas akan disenarai pendek dan pemenang akan diumumkan pada awal Disember 2024.

 

Sementara itu, tiga pemenang teratas akan menerima hadiah wang tunai, pengiktirafan khas juga akan diberikan kepada penggiat seni yang menggabungkan bahan mesra alam dan amalan mampan, seperti pewarna semula jadi dan pengurangan sisa. - DagangNews.com