SC semak semula Rangka Kerja SPAC bagi tingkatkan akses kepada pengumpulan dana | DagangNews Skip to main content

SC semak semula Rangka Kerja SPAC bagi tingkatkan akses kepada pengumpulan dana

 

KUALA LUMPUR 16 Dis – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan semakan semula Garis Panduan Ekuiti (Equity Guidelines) bagi rangka kerja Syarikat-Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) yang dipertingkatkan.

 

Ini akan memudahkan akses kepada pengumpulan dana di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan pembangunan pasaran modal Malaysia.

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, SC menilai semua rangka kerja SPAC untuk memastikan ia kekal relevan dan mampu merangsang minat dalam penyenaraian dan urus niaga yang melibatkan SPAC, dan seterusnya dapat menyediakan para penerbit akses yang lebih besar kepada pasaran modal.


 

Datuk Syed Zaid Albar
                                        Datuk Syed Zaid Albar

 

 

Antara lain, semakan semula tersebut akan:

  • Membenarkan penggabungan perniagaan melalui terbitan sekuriti sebagai pertimbangan bagi Pemerolehan Kelayakan (QA). Pada masa ini, SPAC hanya boleh memenuhi keperluan QA dengan cara pemerolehan tunai.

     
  • Meningkatkan peluang SPAC untuk mendapatkan pembiayaan tambahan dengan membenarkan penempatan tertutup (private placement) bagi QA.

    Di samping itu, jumlah minimum dana yang diperlukan untuk dikumpul oleh SPAC melalui tawaran awam awal (IPO) telah dikurangkan daripada RM150 juta kepada RM100 juta.

     
  • Memberi lebih kejelasan bagi membolehkan profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam ekuiti swasta dan modal teroka dengan sumber aset dan pengalaman menjalankan urus niaga, untuk mengendalikan SPAC.

    Ini berpotensi meluaskan pegangan aset sasaran serta mampu menggalakkan aktiviti penggabungan dan pemerolehan oleh syarikat-syarikat di Malaysia.

     
  • Untuk meminimumkan isu greenmail yang dihadapi oleh SPAC, had untuk kelulusan QA oleh pemegang saham SPAC telah dikurangkan daripada resolusi khas iaitu sekurang-kurangnya kelulusan majoriti 75% kepada kelulusan majoriti mudah oleh semua pemegang saham yang hadir dan mengundi. 

    (Greenmail merupakan satu strategi yang digunakan oleh pelabur tertentu yang memperoleh kepentingan dalam sesebuah SPAC dan menggunakan keupayaan tersebut dengan mengundi untuk membangkang cadangan QA untuk mendapatkan balasan tambahan daripada pasukan pengurusan.

     
  • Untuk mencerminkan risiko yang wujud dalam SPAC, harga minimum IPO telah dinaikkan daripada RM0.50 kepada RM2.00 untuk memastikan ia menarik minat pelabur yang mampu dan bersedia untuk mengambil risiko unik yang berkaitan dengan pelaburan dalam SPAC.

     
  • Untuk mengehadkan kecairan kepada pemegang saham sedia ada, saham baharu yang diterbitkan daripada pelaksanaan waran akan dihadkan kepada tidak lebih daripada 50% daripada jumlah bilangan saham terbitan SPAC.

 

Rangka kerja bagi penyenaraian SPAC di Malaysia mula diperkenalkan pada 2009 untuk menggalakkan aktiviti ekuiti swasta, memacu transformasi korporat dan meningkatkan aktiviti penggabungan dan pemerolehan.

 

Semua ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian, keluasan dan daya saing pasaran modal tempatan.

 

Semakan semula rangka kerja SPAC adalah selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk mewujudkan pasaran modal yang relevan, cekap dan dipelbagaikan.

 

Walaupun pasaran modal Malaysia telah menyaksikan perkembangan dan inovasi baharu, SC ingin mengingatkan pelabur bahawa SPAC ialah pilihan pelaburan pasaran modal alternatif yang mempunyai risiko pelaburan yang lebih tinggi berbanding saham syarikat tersenarai yang menjalankan perniagaan.

 

Pelabur harus membiasakan diri dengan ciri-ciri SPAC dan mempertimbangkan sama ada pelaburan itu memenuhi objektif dan profil risiko mereka.

 

Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula boleh didapati di sini: https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity

 

Rangka kerja SPAC yang disemak semula tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022. – DagangNews.com