SCIB dapat kontrak bina rumah PRIMA RM120 juta | DagangNews Skip to main content

SCIB dapat kontrak bina rumah PRIMA RM120 juta

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM120 juta bagi membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di Kota Bharu, Kelantan.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, SCIB berkata, SCIB Properties telah menerima surat anugerah (LOA) pada 12 Mei lalu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan dari AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd.

 

Menurutnya, pembinaan bagi projek itu dijangka dilaksanakan antara Jun 2021 dan Ogos 2023. 

 

"Perjanjian formal untuk kontrak di atas akan dilaksanakan pada waktunya," katanya hari ini.

 

Projek itu yang dikenali sebagai Residensi PRIMA @ Kubang Kerian membabitkan cadangan pembinaan 2 blok pangsapuri yang mempunyai 21 tingkat dengan 316 unit setiap bangunan.

 

Pembinaan projek berkenaan turut merangkumi dewan serbaguna dan surau, kemudahan pusat jagaan kanak-kanak dan tadika, pondok pengawal dan bangunan 4 tingkat setengah bagi tempat letak kereta.

 

Jelas kumpulan itu, anggaran RM120 juta kontrak itu bagaimanapun tidak termasuk kemudahan dewan, surau, pusat jagaan kanak-kanak dan tadika, pondok pengawal dan kerja-kerja infrastruktur.

 

Katanya, kontrak yang dijamin itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan SCIB bagi sepanjang tempoh kontrak berkenaan. 

 

"Sebarang keuntungan disebabkan oleh kumpulan akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang jangka masa kontrak berdasarkan kepada kemajuan projek," katanya. - DagangNews.com