SCIB kembali diniagakan di Bursa Malaysia 19 Jan ini, optimis dengan prospek pertumbuhan kumpulan | DagangNews Skip to main content

SCIB kembali diniagakan di Bursa Malaysia 19 Jan ini, optimis dengan prospek pertumbuhan kumpulan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) akan kembali diniagakan di Bursa Malaysia pada 19 Januari ini, selepas syarikat pakar kejuruteraan awam ini mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 hari ini. 

 

Laporan tersebut merangkumi penyata kewangan audit tahunan beserta laporan pengarah bagi tempoh terkumpul 18 bulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, usaha komited kumpulan telah membuahkan hasil apabila berjaya melengkapkan laporan diaudit dan mengeluarkan Laporan Tahunan 2021. 

 

"Kumpulan kerja, jawatankuasa audit dan lembaga pengarah bekerja keras memainkan peranan mereka dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh syarikat.

 

"Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan juga Bursa Malaysia atas kesabaran mereka sepanjang proses ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dagangan saham SCIB digantung sejak 9 November lalu selepas ia gagal mengemukakan laporan tahunannya dalam tempoh masa ditetapkan Bursa Malaysia Securities.

 

Setelah mengeluarkan laporan tersebut, Rosland berkata, SCIB kini akan memberi fokus untuk mewujudkan nilai dan mengoptimumkan prestasi syarikat pada tahun-tahun akan datang kerana kumpulan boleh menumpukan perhatian penuh dalam usaha pengembangan ke Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

 
Katanya, walaupun menghadapi halangan, tetapi SCIB tidak berputus asa memandangkan kumpulan mempunyai projek lain yang berjalan mengikut jadual dan turut mengambil inisiatif untuk mencari peluang di Malaysia dan negara jiran lain.

 

"Kami telah mengenal pasti prospek yang berpotensi di peringkat domestik dan serantau, dan SCIB berhasrat untuk memanfaatkan sepenuhnya pasaran baharu muncul dengan menyusun semula kedudukan geografi kami," jelasnya. 

 

Menurut beliau, ketika ini pasaran yang menjadi sasaran kumpulan termasuklah konsesi projek penyelenggaraan jalan di seluruh Malaysia, projek pembangunan perumahan termasuk kontrak PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) serta loji rawatan air.

 

Beliau memberitahu, kumpulan masih optimis dengan prospek semasa dan akan datang dengan SCIB bercita-cita menjadi salah satu pemain utama dalam pasaran global. 


 

SCIB

 


"Dalam hal ini, kami berharap dapat meningkatkan semula keyakinan pemegang saham terhadap kami, kerana kami percaya bahawa SCIB bersedia untuk merebut sebarang peluang perniagaan yang akan muncul tahun ini, menambah baik lagi buku pesanan sedia ada berjumlah RM1.2 bilion," tambahnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, SCIB merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.7 juta. 

 

PBT ini diperolehi selepas kerugian rosot nilai ke atas penghutang perdagangan dan penghutang lain masing-masing sebanyak RM63.5 juta dan RM3.6 juta.

 

Rosot nilai pada penghutang perdagangan adalah disebabkan terutamanya hutang tertunggak yang lama daripada projek luar negara, dan baki tertunggak bersih terjejas sepenuhnya selaras dengan MRFS 9. 

 

SCIB akan mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-45 secara maya pada 28 Februari 2022. -DagangNews.com