Scientex beli 14 lot tanah bernilai RM381 juta di Johor Bahru bagi tingkatkan bank tanah kumpulan | DagangNews Skip to main content

Scientex beli 14 lot tanah bernilai RM381 juta di Johor Bahru bagi tingkatkan bank tanah kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Scientex Bhd menerusi Scientex Quatari Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Lee Pineapple Company (Pte) Limited bagi cadangan pengambilalihan 14 lot tanah berharga RM381.42 juta dengan keluasan 141.74 hektar di Pulai, Johor Bahru bagi meningkatkan jumlah bank tanah kumpulan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kedekatan antara pembangunan sedia ada kumpulan itu dan cadangan pembangunan tanah akan membolehkan mereka menajana operasi yang lebih baik mencapai kecekapan melalui skala ekonomi yang lebih besar untuk dicapai semasa pelaksanaan projek.

 

"Pengembangan bank tanah ini juga selaras dengan matlamat kumpulan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi objektif mereka bagi menyiapkan 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.

 

"Pengambilalihan tanah itu dijangka menyediakan model pembangunan hartanah yang mantap dan mampan kerana Scientex terus memberi tumpuan kepada pembangunan rumah bertanah dengan harga mampu milik di mana permintaan terus kekal teguh dan berdaya tahan," katanya.

 

Tanah itu terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan terletak kira-kira 33km dari pusat bandar Johor Bahru.

 

Ia boleh diakses dari pusat bandar Johor Bahru melalui Lebuhraya Johor BaruSenai (Jalan Skudai) sejauh lebih kurang 18km dan seterusnya melalui Lebuhraya Skudai-Pontian dan Jalan Kangkar Pulai.

 

Kumpulan itu berkata, berikutan sambutan menggalakkan daripada Taman Pulai Mutiara, kumpulan itu akan meneruskan pengembangannya di Pulai dengan pembangunan Taman Pulai Mutiara 2 dan Taman Pulai Duta.

 

Katanya, sehingga kini, melebihi 90% unit yang dilancarkan di Pulai telah terjual.

 

"Tanah itu akan menyediakan Scientex peluang untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatan dalam jangka sederhana dan panjang kerana didorong potensi pembangunan yang menjanjikan.

 

"Cadangan pengambilalihan itu membolehkan Scientex memanfaatkan model perniagaannya yang sedia ada," katanya. - DagangNews.com