Scientex mahu beli semua baki ekuiti dalam Daibochi pada RM2.70 sesaham | DagangNews Skip to main content

Scientex mahu beli semua baki ekuiti dalam Daibochi pada RM2.70 sesaham

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Scientex Berhad berhasrat untuk mengambil alih semua baki ekuiti di dalam anak syarikatnya, Daibochi Berhad yang mewakili 124.78 juta saham biasa atau 38.12% kepentingan pada RM2.70 sesaham. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd yang mewakili Scientex memberitahu, kumpulan juga berhasrat untuk membeli semua baki 26.14 juta waran Daibochi atau mewakili 95.75% pada kadar RM0.32 bagi setiap unit.

 

Jelas firma itu, Scientex melihat pengambilalihan tersebut akan mendatangkan kelonggaran dan kebebasan kepada kumpulan untuk menyeimbangkan aktiviti perniagaannya selain menyelaraskan operasi kedua-dua organisasi.

 

Ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dalam mengembangkan perniagaan pembungkusan fleksibelnya. 

 

“Dalam pada itu, tawaran itu juga akan memberikan Scientex kelonggaran lebih luas untuk merancang dan melaksanakan strategi jangka masa lebih panjang buat Daibochi dalam mencapai potensi pertumbuhan jangka panjangnya. 

 

“Ini mungkin melibatkan penstrukturan semula, organisasi semula dan/atau rasionalisasi Daibochi, sekiranya perlu,” jelas UOB Kay Hian.

 

Setakat 10 September lalu, Scientex memegang 202.59 juta saham biasa dan 1.16 juta waran Daibochi, masing-masing mewakili 61.88% kepentingan dan 4.25% waran.

 

Pada peringkat perbincangan awal ini, tawaran itu akan dibiayai oleh gabungan 50% dana dalaman dan 50% pinjaman bank.

 

Menurut makluman tersebut lagi, apabila langkah pengambilalihan itu selesai, kumpulan tidak perlu mengeluarkan sebarang komitmen kewangan untuk menjalankan perniagaan Daibochi memandangkan ia sememangnya sebuah entiti perniagaan dengan rekod prestasi keuntungan yang kukuh. 

 

Bagi tempoh tiga tahun kewangan lalu, Daibochi secara konsisten menjana aliran tunai positif daripada aktiviti operasinya, masing-masing berjumlah RM31.22 juta, RM61.28 juta dan RM120.56 juta.

 

Bagaimanapun, kumpulan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Daibochi di Bursa Malaysia.

 

Setakat ini, modal saham Daibochi bernilai RM163.09 juta yang mewakili 327.37 juta saham tidak termasuk 550,100 saham perbendaharaan.

 

“Pembatalan penyenaraian Daibochi melalui tawaran ini, jika wujud, juga dijangka dapat menyingkirkan usaha dan kos pentadbiran untuk menjaga penyenaraian Daibochi dan mengalihkan kembali sumber daya ke arah perniagaan utamanya.

 

“Berdasarkan perkara di atas, tawaran ini memudahkan hasrat Scientex untuk membatalkan penyenaraian dan / atau menerajui Daibochi secara persendirian, dan seterusnya memberikan kebebasan yang lebih besar kepada Scientex dalam menentukan arah strategi Daibochi dan fleksibiliti untuk menyusun semula, organisasi semula dan merasionalkan struktur serta perniagaan kumpulan Daibochi sekiranya timbul keperluan,” tambah makluman tersebut. - DagangNews.com