Scomi Energy diberi tempoh 4 bulan serahkan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Scomi Energy diberi tempoh 4 bulan serahkan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17), Scomi Energy Services Berhad mempunyai empat bulan bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada Bursa Securities untuk kelulusan. 

 

September lalu, penyedia perkhidmatan industri minyak dan gas dan pengangkutan itu telah diberikan lanjutan sehingga 31 Januari 2024 untuk berbuat demikian.

 

"Lembaga pengarah mengumumkan bahawa syarikat itu sedang dalam penyediaan dan memuktamadkan pelan penyusunan semulanya," kata Scomi Energy dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mereka akan membuat pengumuman yang perlu berhubung dengan sebarang perkembangan mengenai perkara itu.

 

Syarikat konsesi PJD Link (M) Sdn Bhd telah mengumumkan pada Oktober 2022 bahawa mereka sedang mencari penyenaraian di Bursa Malaysia melalui pengambilalihan terbalik (RTO) Scomi Energy, yang sahamnya melonjak berikutan pengumuman itu.

 

RTO akan menjadi sebahagian daripada pelan penyusunan semula yang akan mengangkat Scomi Energy daripada status PN17. 

 

Bagaimanapun, pada 17 Julai, Scomi Energy mengumumkan bahawa perjanjian rangka kerja yang ditandatanganinya dengan pemegang konsesi untuk RTO telah "diputuskan secara bersama-sama berkuat kuasa serta-merta", tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.

 

Ia susulan pengumuman Kerajaan Selangor mengenai penamatan projek kontroversi Petaling Jaya Dispersal (PJD) Link oleh PJD Link (M), menjelang pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu.

 

Namun begitu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudiannya dipetik sebagai berkata projek PJD Link mungkin dihidupkan semula sekiranya mematuhi syarat yang ditetapkan.

 

Syarikat itu jatuh ke dalam status PN17 pada Januari 2020 apabila ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan jatuh di bawah 50% daripada modal saham terbitannya.

 

Saham Scomi Energy telah digantung sejak 24 Julai selepas ia gagal menyerahkan pelan penyelarasannya kepada Bursa Securities tepat pada masanya. Ia terakhir didagangkan pada 0.5 sen sesaham. - DagangNews.com