SDP ambil tindakan undang-undang ke atas Liberty Shared | DagangNews Skip to main content

SDP ambil tindakan undang-undang ke atas Liberty Shared

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sime Darby Plantation Berhad (SDP) memulakan prosiding undang-undang setelah menemui maklumat kritikal terhadap Duncan Jepson pada 9 Mac lalu di daerah timur Virginia, Amerika Syarikat (AS). 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, SDP berkata, prosiding itu bertujuan mendapatkan maklumat penting berhubung aduan yang difailkan Jepson kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mana beliau membuat pendakwaan salah dalam Laporan Kelestarian SDP 2019. 

 

Jepson pada ketika itu dan sekarang, merupakan pengarah urusan Liberty Shared, sebuah badan bukan kerajaan (NGO). 

 

Ekoran dakwaan Jepson, SC memulakan siasatan dan meminta maklumat tambahan daripada SDP yang mana sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, SDP memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya tersebut.  

 

"Oleh itu, adalah penting bagi SDP untuk mendapatkan maklumat yang terhad tetapi kritikal daripada aduan yang difailkan oleh Jepson," katanya hari ini. 

 

Pada 20 April 2020, Liberty Shared memfailkan aduan di Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) atas tuduhan penggunaan buruh paksa di ladang sawit milik SDP. 

 

SDP dimaklumkan mengenai aduan ini pada 7 Julai 2020, ketika Liberty Shared memuat naik ringkasan aduan di laman webnya.

 

Bagaimanapun, menurut SDP, ringkasan aduan itu tidak mengandungi maklumat mencukupi bagi membolehkan SDP merapatkan jurang dalam operasi yang boleh memberi manfaat kepada tenaga kerjanya. 

 

"Ini adalah kali pertama SDP dalam sejarah 200 tahun mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah NGO," katanya. 

 

Bagi syarikat perladangan gergasi itu, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan dan masyarakat awam di seluruh dunia bagi menyokong dan menghormati peranan penting yang mereka mainkan dalam masyarakat.

 

"Hubungan saling menghormati ini membolehkan SDP muncul sebagai peneraju industri, diperolehi oleh rakan perniagaan, para pelanggan dan pihak berkepentingan seperti NGO yang mempunyai reputasi tinggi. 

 

"Namun, adalah sesuatu yang menyediakan apabila di sebalik hubungan langsung dan tidak langsung ini, Jepson masih menyimpan maklumat penting yang boleh membantu pekerja yang kononnya beliau perjuangkan," katanya. 

 

Malah, SDP turut melantik PwC Singapore pada Oktober 2020 sebagai memenuhi permintaan Jepson untuk berkongsi maklumat penting bagi menangani isu berhubung dakwaannya.  

 

Selepas itu, PwC Singapore melantik individu lain untuk bekerjasama rapat dengan Jepson dan Liberty Shared, sekali lagi atas permintaan Jepson, tambahnya. 

 

"Tetapi, sama ada PwC Singapore mahupun individu terbabit boleh berkongsi maklumat untuk mengatasi masalah yang mungkin timbul di ladang kami," menurut SDP.

 

Jepson pula mengemukakan pandangannya bahawa pelantikan NGO bagi membantu SDP adalah tidak ideal berdasarkan pendapatnya, 'pakar pematuhan sosial tidak akan dapat memberi penilaian jujur mengenai tadbir urus korporat dan kawalan dalaman.'

 

"Malah, beliau juga terus menahan maklumat tersebut meskipun kami berulang kali menegaskan memberi jaminan bahawa ia penting demi kesejahteraan para pekerja kami dan di SDP, pemberi maklumat adalah dilindungi," tegasnya. 

 

SDP kemudiannya mengambil langkah bertanggungjawab seterusnya dengan melantik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pihak Ketiga pada 1 Mac 2021 untuk menawarkan penilaian dan pakar bebas terhadap seluruh operasi SDP di Malaysia.

 

"Kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat yang boleh membantu kesejahteraan dan keselamatan para pekerja kami," katanya. 

 

Susulan dakwaan Liberty Shared itu, SDP dikenakan sekatan import oleh CBP berkuat kuasa 30 Disember 2020, selepas perintah sekatan dikeluarkan ke atas minyak sawit dan produk minyak sawitnya berikutan dakwaan buruh paksa. - DagangNews.com