SDP catat untung bersih RM190 juta | DagangNews Skip to main content

SDP catat untung bersih RM190 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM190 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020 berbanding kerugian bersih RM243 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi lebih baik ini didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung yang lebih tinggi. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan syarikat perladangan bagi suku itu meningkat 13% kepada RM3.18 bilion berbanding RM2.82 bilion pada suku sebelumnya.  

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2020 pula, keuntungan bersih SDP melonjak kepada RM1.04 bilion berbanding kerugian bersih RM142 juta bagi tempoh sama tahun lalu, berikutan pendapatan meningkat kepada RM9.44 bilion berbanding RM8.69 bilion. 

 

Kumpulan menjangkakan prestasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 adalah lebih baik berbanding tahun lalu. 

 

Pengerusi SDP, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, bagi keseluruhan tahun kewangan, kumpulan akan kekal fokus untuk memberi nilai kepada pemegang saham terutama dalam menghadapi tempoh mencabar. 

 

Katanya, walaupun syarikat terus memantau impak COVID-19 terhadap perniagaan, namun, SDP berupaya merekodkan prestasi yang tinggi tahun ke tahun. 

 

"Untuk itu, kami akan memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan, keselamatan pekerja kami, komitmen terhadapan amalan kelestarian, melindungi hak asasi manusia dan juga inisiatif pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang kami jalankan," katanya dalam kenyataan. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, di sebalik cabaran yang dihadapi pasaran global akibat pandemik itu, harga MSM terus meningkat pada separuh kedua tahun ini manakala permintaan pula dijangka berkembang pada 2021. 

 

Malah, menurutnya, sebagai sektor yang menyediakan produk utama ke seluruh dunia, industri tersebut berdaya tahan dalam menangani ketidaktentuan global. 

 

"Kami amat menggalakkan rakyat Malaysia yang tiada pekerjaan supaya meneroka industri minyak sawit hari ini. 

 

"Dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga buruh ketika ini, kami juga berharap kerajaan meneruskan usaha mengurangkan sekatan terhadap pekerja asing," katanya.

 

Beliau berkata, ia membolehkan kumpulan menumpukan usaha terhadap mekanisasi dan pendigitalan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dalam tempoh sederhana dan jangka panjang. - DagangNews.com