KUALA LUMPUR 5 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) akan dilaksanakan di Sedenak atas tanah seluas 2,950 hektar milik Johor Coporation.
Katanya, bank tanah yang besar selain kos tanah yang agak rendah seharusnya menarik perhatian pelaburan asing, sama seperti Iskandar Puteri (sebelum ini dikenali sebagai Nusajaya), yang dilancarkan pada 2007.
"Adalah rasional untuk meletakkan JSSEZ di Sedenak bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di Iskandar Malaysia.
"JSSEZ akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan sebagai tambahan kepada pusat data yang ada di kawasan itu, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan di kawasan sekitarnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Malaysia dan Singapura dijangka memeterai memorandum persefahaman mengenai penubuhan JSSEZ pada 11 Januari ini dan ia akan menjadi tumpuan sektor hartanah pada separuh pertama tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, Iskandar Puteri juga memiliki peluang yang baik untuk pembangunan JSSEZ memandangkan lokasinya yang lebih dekat dengan Singapura selain memiliki perbandaran yang lebih matang.
Bagaimanapun katanya, kos tanah di Iskandar Puteri lebih tinggi berbanding Sedenak.
"Tanpa JSSEZ, hartanah di Iskandar Puteri masih menerima permintaan domestik yang berdaya tahan terutama daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura serta pelaburan asing.
"Forest City, yang telah dikenal pasti sebagai Zon Kewangan Khas dan stesen kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang berpotensi dibangunkan di Iskandar Puteri dijangka menarik minat belian di rantau ini," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah. - DagangNews.com