Sedikit kelewatan peningkatan pengeluaran segmen rangkaian, telekomunikasi NationGate tidak membimbangkan – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sedikit kelewatan peningkatan pengeluaran segmen rangkaian, telekomunikasi NationGate tidak membimbangkan – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Sedikit kelewatan dalam peningkatan pengeluaran segmen rangkaian dan telekomunikasi NationGate Holdings Berhad tidak membimbangkan, sementara kumpulan itu menantikan penempatan semula pangkalan pengeluaran pelanggan utamanya dari China ke Pulau Pinang.

 

Kenanga Research juga berkata penerimaan pelanggan baharu China dalam bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI) sedang dijalankan dengan sumbangan bermula pada suku kedua tahun hadapan.

 

Susulan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih NationaGate bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM45.6 juta masing-masing menyumbang hanya 64% dan 65% daripada unjuran setahun penuh firma dan konsensus.

 

“Bagaimanapun, kami menganggap keputusan dalam jangkaan kerana kami menjangkakan peningkatan pasa suku keempat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, Kenanga Research berkata NationGate yakin bahawa momentum pendapatan positif pada 3QFY23 akan berterusan hingga 4QFY23.

 

“Kumpulan itu mengambil alih pengeluaran rangkaian produk yang lebih luas daripada pelanggan utamanya yang terlibat dalam transceiver optik, memandangkan pelanggan tersebut memindahkan pangkalannya dari China ke Pulau Pinang. Ini dilakukan dengan mengorbankan pengeluar kontrak pelanggan itu yang berpangkalan di China,” jelasnya.

 

Menurut firma itu, pada masa ini, pelanggan itu menyumber luar 30% daripada pembuatan kontraknya kepada NationGate, dengan baki 70% kepada pengeluar kontraknya yang berpangkalan di China, namun ini akan terbalik dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.

 

Di samping itu, firma tersebut berkata penerimaan pelanggan pusat data, xFusion, sedang dijalankan dengan rancangan untuk memulakan peningkatan pengeluaran secara beransur-ansur dalam suku kedua 2024, yang melibatkan proses pemasangan papan litar bercetak (PCBA).

 

Oleh demikian, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan, saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) pada RM1.70 sesaham.

 

Setakat pukul 10:41 pagi ini, saham NationGate telah menokok 2 sen atau 1.7% kepada RM1.23 dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.55 bilion.  - DagangNews.com