Segmen frekuensi radio Inari Amertron diunjur terima manfaat peningkatan penggunaan telefon pintar 5G | DagangNews Skip to main content

Segmen frekuensi radio Inari Amertron diunjur terima manfaat peningkatan penggunaan telefon pintar 5G

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - TA Securities mengunjurkan segmen frekuensi radio (RF) Inari Amertron Bhd akan menerima manfaat berterusan daripada peningkatan penggunaan telefon pintar 5G serta keperluan kandungan yang menyokong rangkaian jalur frekuensi yang lebih luas.

 

Katanya, jumlah penghantaran telefon pintar 5G di seluruh dunia dianggarkan berkembang daripada 657.6 juta pada 2023 kepada lebih daripada 1 bilion pada 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 9.4%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu giat mengusahakan projek baharu sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pelanggannya.

 

Katanya, projek baharu itu termasuk produk memori, LED berkuasa tinggi, sistem pada modul dan produk optik dan penderiaan.

 

"Sementara itu, kumpulan itu telah menerokai ujian dan pembungkusan produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

"Walaupun sumbangan pendapatan agak kecil ketika ini, potensi produk berkaitan AI mungkin besar disebabkan penggunaannya yang meluas.

 

"Kumpulan itu kini bekerjasama dengan pelanggan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bagi perkhidmatan berkaitan AI baharu ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Securities berkata, melangkah ke hadapan, Yiwu Semiconductor International Corporation (YSIC) milik kumpulan itu berpeluang memanfaatkan pertumbuhan kukuh industri semikonduktor di China memandangkan negara itu sedang giat untuk mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang stabil. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk ketegangan geopolitik yag menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan selain kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit, lonjakan harga komoditi dan kekurangan bahan mentah.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM4.30 sesaham. - DagangNews.com