KUALA LUMPUR 21 Jun - Malacca Securities menjangkakan segmen gas ketulenan ultra tinggi (UHP) kekal sebagai pemacu utama kepada pendapatan keseluruhan Kelington Group Berhad pada masa akan datang.
Firma itu berkata, Kelington berada di kedudukan terbaik bagi memanfaatkan kemajuan teknologi yang sedang berkembang seperti pengkomputeran berprestasi tinggi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peralihan beransur-ansur kepada 5G yang terus memacu permintaan dalam industri semikonduktor.
"Walaupun berlaku sekatan pergerakan di bandar-bandar China sebelum ini, namun impak terhadap operasi Kelington di negara itu adalah minimum.
"Selepas kerajaan di sana menarik semula perintah berkurung di negara itu, kami menjangkakan kemajuan dalam perkembangan perniagaan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih kontrak baharu bernilai RM62 juta untuk kerja-kerja berkaitan gas di Shanghai, China.
Kontrak berkenaan diberikan oleh kilang semikonduktor terbesar di China dengan kerja-kerja itu akan bermula pada Jun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.
Sehingga kini, Kelington berjaya mendapatkan kontrak baharu berjumlah RM762 juta merangkumi kontrak itu menjadikan tempahan terkumpulnya sebanyak RM1.66 bilion.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.61.
"Bagaimanapun, antara risiko yang bakal dihadapi termasuk penurun jualan semikonduktor akan memperlahankan projek UHP di Singapura dan China kerana ia memainkan peranan besar dalam sumbangan pendapatan kumpulan," katanya. - DagangNews.com