Segmen hotel KLCCP kekal mencabar, EPS FY21 dikurangkan 7.9% | DagangNews Skip to main content

Segmen hotel KLCCP kekal mencabar, EPS FY21 dikurangkan 7.9%

KLCCP Stapled Group (KLCCP)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Segmen hotel syarikat KLCCP Stapled Group (KLCCP) dilihat akan terus berdepan cabaran meskipun kerajaan mengumumkan pembukaan semula 11 aktiviti ekonomi.

 

CGS-CIMB Research berkata, pemulihan segmen hotelnya iaitu Mandarin Oriental (MOKL) hanya akan didorong oleh penghuni domestik.

 

Jelas nota kajian itu, kadar penghuni pula rata-rata menunjukkan penyusutan kepada 12% berbanding 26% pada April dan 14% pada separuh pertama 2021.

 

Kejatuhan pada tahap 12% itu berpunca daripada 'lockdown' penuh dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

 

"MOKL melaporkan kerugian sebelum pemotongan cukai (pretax) yang lebih rendah iaitu sebanyak RM18.2 juta pada suku kedua 2021, susut 11% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Namun kerugian pretax yang lebih tinggi sebanyak RM34.3 juta (+17.2% yoy) direkodkan pada separuh pertama 2021," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research mengambil keputusan dengan mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 7.9% akibat daripada gangguan 'lockdown' dan PKPD pada suku ketiga tahun kewangan 2021.

 

Bagi rekod, KLCCP mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM290.1 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021.

 

Pendapatan bersih pada suku kedua pula sedikit susut kepada RM144 juta disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada bahagian runcit.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bahagian runcit susut 3.4% berbanding suku sebelumnya akibat pendapatan sewa yang terjejas susulan pelaksanaan 'lockdown' sejak Jun 2021.

 

Menilai kepada prestasi semasa syarikat, MIDF Research mengurangkan unjuran perolehan KLCCP bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 sebanyak -12.9% dan -3.3%.

 

MIDF Research berkata, keputusan itu dibuat kerana pihaknya menjangkakan pendapatan daripada segmen runcit akan terus lemah pada separuh kedua 2021 akibat 'lockdown' penuh.

 

"Kami juga menjangkakan perolehan syarikat akan terus terkesan daripada segmen hotel akibat daripada sekatan sempadan negara yang belum dibuka.

 

"Seiring dengan penurunan unjuran, kami mengubah harga sasaran sesaham (TP) KLCCP kepada RM6.80 berbanding RM7.02 pada sebelumnya," jelas MIDF Research lagi.

 

KLCCP Stapled Group memiliki empat segmen perniagaan utama iaitu Pelaburan Hartanah - Pejabat, Peruncitan, Operasi Hotel dan perkhidmatan Pengurusan. Portfolio KLCC REIT pula merangkumi Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas dan Menara ExxonMobil, yang memiliki kawasan boleh sewa terkumpul seluas 4.5 juta kaki persegi.

 

Harta lain yang dimiliki KLCCP ialah Kompleks Dayabumi di Jalan Sultan Hishamuddin, hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur (75%), Pusat Beli-Belah Suria KLCC (60%) dan Menara Maxis (33%). - DagangNews.com