Segmen optik Focus Point dijangka atasi prestasi runcit didorong pertumbuhan kukuh jualan kedai - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Segmen optik Focus Point dijangka atasi prestasi runcit didorong pertumbuhan kukuh jualan kedai - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Segmen optik Focus Point Holdings Bhd dijangka mengatasi prestasi segmen runcit dengan jangkaan aliran pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) yang kukuh pada suku kedua tahun ini, kata RHB Investment.

 

Katanya, jangkaan itu boleh dikaitan dengan inisiatif pembinaan jenama oleh kumpulan itu termasuk kerjasama kempen pemasaran bersama pembekal dan pameran kesedaran jenama yang disasarkan kepada golongan khusus.

 

"Inisiatif ini berkesan dalam meningkatkan keterlihatan jenama dan menarik pelanggan baharu dengan mewujudkan peluang pemerolehan.

 

"Kami mendapati bahawa kempen Penjagaan Mata Utama 360 Lanjutan Focus Point membuahkan hasil yang positif dengan meningkatkan penglibatan pelanggan dan syarikat dengan melihat trend peningkatan dagangan pengguna dan perbelanjaan yang lebih besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan 193 cawangan setakat suku pertama tahun ini, kumpulan itu menyasarkan pembukaan 18 kedai tambahan pada tahun ini untuk berkembang ke kawasan yang belum diterokai, terutamanya lokasi bukan dalam pusat beli-belah.

 

Sementara itu, katanya jualan korporat optik (7% daripada jualan optik) telah meningkat dua kali ganda pada suku pertama tahun ini disebabkan oleh penerimaan pelanggan korporat baharu melalui kerjasama dengan pentadbir pihak ketiga.

 

"Kumpulan itu juga merancang untuk menambah dua cawangan Komugi baharu pada FY24 bagi mengembangkan kehadiran runcitnya.

 

"Kedai jenama yogurt sejuk beku HAP&PI kedua dijadualkan dibuka di Johor didorong  prestasi kedai pertama yang memuaskan di MidValley," katanya.

 

RHB Investment menjangkakan kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk kelewatan alam rancangan pengembangan an kehilangan pelanggan korporat utama bagi segmen makanan dan minuman.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham," katanya.  - DagangNews.com