Segmen pembuatan dandang BM Greentech mungkin terjejas akibat kelemahan harga minyak sawit mentah – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Segmen pembuatan dandang BM Greentech mungkin terjejas akibat kelemahan harga minyak sawit mentah – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Segmen pembuatan dandang BM Greentech Bhd mungkin terjelas oleh kelemahan harga minyak sawit mentah memandangkan pengilang minyak sawit dijangka menangguh rancangan perbelanjaan modal (capex) termasuk penggantian atau menaik taraf dandang, kata Kenanga Research.

 

Dari segi positif, firma penyelidikan itu berkata segmen tenaga solar kumpulan itu sedang memanfaatkan gelombang baharu pelaburan dalam aset penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), disokong oleh komitmen kerajaan terhadap RE yang membentuk 70% daripada jumlah campuran penjanaan menjelang 2050, seperti yang ditekankan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

 

“Kami maklum bahawa pembuatan dandang menyumbang kepada bahagian terbesar daripada jumlah keuntungan BM Greentech, iaitu kira-kira 78%, berbanding kira-kira 13% daripada segmen tenaga solar,” katanya dalm nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi BM Greentech dalam separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), Kenanga Research berkata keuntungan bersih kumpulan melebihi jangkaan, merangkumi unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 69% dan 61%.

 

Jelasnya, prestasi kumpulan pada 1HFY24 didorong oleh margin segmen pembuatan dandang dan segmen tenaga solar yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Oleh demikian, firma itu menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan 2024 (FY24-25) sebanyak 16% setiap satu untuk mencerminkan margin lebih tinggi dalam segmen pembuatan dandang dan tenaga solar.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘underperform’ dan meningkatkan harga sasaran (TP) sebanyak 13% kepada 81 sen sesaham daripada 72 sen.

 

“Kami menyukai kumpulan itu disebabkan trend jangka panjang pelaburan dan menaik taraf aset pengilangan minyak sawit didorong oleh kesedaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat dalam kalangan pengilang minyak sawit.

 

“Pangkalan pelanggannya adalah kukuh dengan syarikat ternama dalam industri seperti KL Kepong, Wilmar, Sime Darby, Boustead dan Tradewinds,” tambahnya.

 

Namun dalam tempoh terdekat, firma itu menjangkakan segmen pembuatan dandang kumpulan itu terjejas oleh harga MSM yang lemah.

 

Setakat pukul 12:07 tengah hari ini, saham BM Greentech menokok 1.5 sen atau 1.5% kepada 99.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM513.4 juta.   - DagangNews.com