Segmen perkhidmatan Digi ‘sakit’ - Firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

Segmen perkhidmatan Digi ‘sakit’ - Firma penyelidik

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Oktober tahun lalu, hasil daripada segmen perkhidmatan Digi.Com Berhad (Digi) menyusut 6.1% pada suku keempat 2020 (4Q20) berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Firma penyelidik menjangkakan penguncupan hasil dalam segmen itu akan berterusan sehingga tahun ini susulan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19. 

 

“Ini mendorong semak turun kami ke atas ramalan perolehan pada tahun kewangan 2021 (FY21) dan 2022 (FY22) masing-masing sebanyak -3.0% dan -2.8% memandangkan kami menggunakan andaian pendapatan yang lebih konservatif untuk segmen prabayar dan pascabayar,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Disebabkan sekatan pergerakan dan lonjakan kes COVID-19, pelanggan asas Digi terus merosot pada suku tahun berkenaan kepada 10.44 juta. 

 

Ini menyaksikan pembelian prabayar jatuh sebanyak 261,000 dan purata hasil setiap pengguna (ARPU) menyusut 3.0% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, terdapat sedikit peningkatan bagi pelanggan pascabayar kepada 3.04 juta berbanding 3.02 juta yang dicatatkan pada 3Q20. 

 

Pemulihan itu didorong oleh langkah yang diambil Digi untuk memacu pendaftaran pelanggan yang berkualiti dan tawaran pelan data menarik. 

 

Senada MIDF, CGS-CIMB Research mendapati pelanggan Malaysia yang meningkat 5.9% berbanding 4Q19 secara tidak langsung mengimbangi segmen migran yang menyusut, di mana pendapatan turun 24% tahun ke tahun. 

 

“Selepas hasil FY20, kami menurunkan ramalan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) FY21 dan FY22 masing-masing sebanyak 2.3% dan 1.1% setelah mengambil kira hasil perkhidmatan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi tinggi. 

 

“Kami kini meramalkan perolehan sesaham (EPS) utama FY21 akan jatuh 1.0% tahun ke tahun, berpunca daripada pendapatan perkhidmatan yang lebih rendah (penurunan jumlah pekerja migran, perayauan rendah dan persaingan yang sengit) sebelum naik 7.1% dan  9.9% tahun ke tahun pada FY22 dan FY23 dari segi pemulihan pendapatan perkhidmatan dan kecekapan kos,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza. 

 

MIDF dan CGS-CIMB masing-masing meletakkan penarafan ‘neutral’ dan 'pegang' saham Digi dengan harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM3.84 dan RM4.00. - DagangNews.com