Segmen REIT hotel dan runcit diunjur catat peningkatan positif didorong kehadiran pelancong lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Segmen REIT hotel dan runcit diunjur catat peningkatan positif didorong kehadiran pelancong lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai -Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi segmen runcit dan hotel di Malaysia akan terus menunjukkan peningkatan positif disokong kehadiran pelancong yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor itu juga disokong oleh pendapatan boleh guna daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji penjawat awam selain kadar pengangguran yang reandah dengan pertumbuhan gaji stabil yang menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

Katanya, data jualan runcit Malaysia menunjukkan peningkatan daripada paras terendah yang dilihat semasa pandemik dan berkemungkinan berterusan pada aliran menaik berikutan inisiatif pendapatan kerajaan.

 

Dua inisiatif utama yang diumumkan pada suku kedua tahun ini akan menjadi penggalak kepada pendapatan boleh guna, iaitu pelancaran Akaun 3 KWSP yang fleksibel dan kenaikan gaji penjawat awam 13% pada Disember 2024.

 

"Kami percaya bahawa faktor-faktor ini berkemungkinan meningkatkan penggunaan swasta dan merangsang lebih banyak perbelanjaan runcit, menyebabkan jumlah pembeli yang lebih tinggi dan jualan penyewaan.

 

"Bagaimanapun, Warisan Merdeka Mall @ 118 dan Pavilion Damansara Heights Fasa 2, boleh memberi kesan perlahan ke atas penukaran semula sewa untuk pusat beli-belah utama sedia ada," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, HLIB berkata, REIT hotel itu akan disokong kehadiran pelancong yang lebih tinggi, kerana kehadiran pada suku pertama 2024 mencapai 5.8 juta dan kerajaan menetapkan sasaran 27.3 juta pelancong dan perbelanjaan RM102.7 bilion tahun ini.

 

"Dengan ketibaan pelancong akan terus bertambah baik tahun ini berikutan lanjutan perjalanan tanpa visa baru-baru ini untuk pelancong China dan pengembalian semula kapasiti penerbangan global, pusat beli-belah utama di KL bagi menerima rangsangan tambahan daripada jumlah pelancong yang lebih tinggi,"katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan Sunway REIT dengan harga sasaran (TP) RM1.94 dan Pavilion REIT dengan TP RM1.63 sesaham.- DagangNews.com