Segmen runcit Aeon terus berdepan tekanan akibat kos operasi tinggi, cukai baharu - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Segmen runcit Aeon terus berdepan tekanan akibat kos operasi tinggi, cukai baharu - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Segmen peruncitan Aeon Co (M) Bhd pada tahun kewangan 2024 (FY24) terus menghadapi tekanan daripada kos operasi yang tinggi dan sentimen pengguna yang lemah dalam industri yang kompetitif, kata RHB Investment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pihak pengurusan juga berhati-hati terhadap pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api dan cukai pengguna yang lebih tinggi.

 

Katanya, pengenalan cukai-cukai tersebut yang dijangka tidak lama lagi dibimbangi memberi kesan kepada jumlah jualan ditambah pula dengan landskap industri semasa yang kompetitif.

 

"Kos operasi juga dijangka kekal tinggi, memandangkan perubahan dalam Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) membayangkan kenaikan tarif elektrik) dan pengenalan tarif elektrik hijau (surcaj ke atas sumber bukan hijau) pada bulan Ogos," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, RHB  Investment berkata, perbelanjaan pengguna sepatutnya kukuh pada suku pertama FY24 (1QFY24) memandangkan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidil Fitri yang lebih awal, pada 10 April.

 

aeo

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil segmen perniagaan runcit Aeon pada 4QFY23 susut 4.9% kepada RM859 juta berbanding RM903 juta pada tahun sebelumnya

 

Katanya, pihak pengurusan juag merancang untuk meneruskan penganjuran promosi dan acara di pusat beli-belahnya untuk menarik perhatian dan memanfaatkan perbelanjaan perayaan.

 

"Walaupun tiada rancangan untuk pelancaran pusat beli-belah baharu, pihak pengurusan akan menumpukan pada pengubahsuaian pusat beli-belah semasanya untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah secara keseluruhan dan kekal berdaya saing," jelasnya.

 

Dalam pada itu, kata frma penyelidikan tersebut, segmen peruncitan yang terus berdepan tekanan daripada kos operasi tinggi dan sentimen pengguna yang lemah bagaimanapun akan diimbangi oleh prestasi yang lebih kukuh dalam bahagian pengurusan hartanah.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'Neutral' pada harga sasaran (TP) RM1.14 sesaham.- DagangNews.com