Segmen runcit, hotel Sunway REIT terus terjejas sepanjang penularan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Segmen runcit, hotel Sunway REIT terus terjejas sepanjang penularan COVID-19

Sunway REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Segmen runcit dan hotel Sunway REIT dijangka akan terus terjejas sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19.

CGS-CIMB berkata, walaupun pendapatan pada tahun kewangan 2021 bakal menunjukkan prestasi rendah, pihaknya tetap berhati-hati terhadap pemulihan pendapatan untuk aset runcit dan hotel Sunway REIT.

"Kami jangkakan segmen runcit dan hotel akan terus terjejas sepanjang wabak COVID-19.

"Penilain lebih berhati-hati terhadap pemulihan pendapatan untuk aset runcit dan hotel Sunway REIT adalah disebabkan oleh empat perkara utama," jelas CGS-CIMB Research.

Empat perkara yang menjadi penilaian tersebut adalah seperti berikut;

  • Purata negatif pembalikan dua digit untuk pusat beli-belah yang tertentu.
  • Kadar penghuni runcit yang rendah
  • Jumlah penghuni hotel yang berkurangan
  • Kesan kerugian pendapatan yang berpanjangan akibat wabak dan pengurangan kedatangan pelancong akibat sekatan sempadan 

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB berkata, risiko penurunan sentimen runcit terus berlaku meskipun pihaknya meramalkan pemulihan penjualan sewa pada Julai dan Ogos 2020.

Risiko tersebut mula timbul selepas berakhirnya moratorium pinjaman selama enam bulan menjelang akhir September 2020.

Pada bulan Ogos 2020, jumlah kehadiran orang ramai ke pusat beli-belah Sunway meningkat 60% hingga 70% berbanding tahap awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dari segi penjualan sewa, ia mencatatkan pemulihan sebanyak 50% hingga 60% dalam tempoh sama.

Kadar penghuni hotel yang lemah di bawah 30% diramalkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagi tahun kewangan 2020.

Bagaimanapun, Sunway REIT menunjukkan penurunan yang lebih tinggi sebanyak 53% pada akhir tahun kewangan Jun 2020.

CGS-CIMB Research berkata, pihaknya tetap positif terhadap perolehan The Pinnacle Sunway yang bernilai RM450 juta.

CGS-CIMB Research turut meningkatkan harga sasaran sesaham (TP) Sunway REIT kepada RM1.70. - DagangNews.com