Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) terus memperhebat inisiatif baharu menerusi pembangunan segmen sukan dan digital untuk memacu pendapatan dan nilai syarikat.
Sebagai syarikat penyiaran rasmi Liga Perdana secara eksklusif di Malaysia, Astro membawa peminat bola sepak menyaksikan kesemua 380 perlawanan secara langsung bermula 12 September depan menerusi Pek Sukan Astro.
Ketua Pegawai Eksekutif TV dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro, Euan Smith sedar bahawa ketika mengharungi situasi global terkini, adalah penting untuk Astro terus berusaha mencari kaedah baharu agar dapat kekal berhubung dengan pelanggan dan peminat sukan secara maya.
“Kami lihat, terdapat ruang dalam segmen pembangunan sukan, justeru kami berusaha untuk memacu pendapatan dan nilai di ruangan-ruangan digital ini dengan memperhebatkan inisiatif-inisiatif baharu. Dengan kemunculan semula siaran secara langsung acara sukan, Astro amat teruja untuk menyajikan peminat sukan Malaysia dengan acara sukan terbesar di dunia.
“Selain memberikan liputan yang paling komprehensif, Astro membawa tontonan bola sepak ke tahap lebih tinggi dengan Ultra Box dan Jalur Lebar yang menawarkan siaran perlawanan secara langsung dalam 4K UHD yang tiada tandingannya.
“Kini, pelanggan tidak akan lagi ketinggalan untuk menonton siaran langsung dengan aplikasi Astro GO dan strim program Liga Perdana secara eksklusif secara 'on demand' pada bila-bila masa, di mana sahaja mereka berada,” kata Smith dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, sebagai langkah membanteras cetak rompak, Astro dengan kerjasama Liga Perdana akan melancarkan kempen anti-cetak rompak yang pertama, ‘Boot Out Piracy’ pada minggu hadapan.
Pengarah Penyiaran di Liga Perdana, Paul Molnar berkata, peminat Malaysia sangat penting dan mempunyai penyokong setia yang mengikuti kelab-kelab serta Liga Perdana pada setiap minggu.
“Astro telah menjadi rakan kongsi kami selama lebih sedekad, menawarkan liputan komprehensif mengenai perlawanan dan memainkan tiga peranan besar dalam menarik peminat dengan liga ini, kelab-kelab dan pemain kami.
“Kami gembira dapat bekerjasama untuk melancarkan kempen baharu ini yang mendorong peminat untuk menikmati pengalaman menonton Liga Perdana terbaik melalui saluran Astro secara rasmi,” katanya. - DagangNews.com